Jerebu: IPU Cheras, Nilai, Shah Alam tak sihat

Jerebu yang melanda Malaysia terutama di pantai Barat Semenanjung  termasuk Negeri Sembilan dan Selangor yang terdedah kepada tiupan angin dari selatan sumatera membawa jerebu berpunca dari kebakaran hutan di daerah Jambi dan Palembang, Sumatera selatan  Indonesia. (FOTO: Facebook: Klon Met Vtwo Metvtwo)

KUALA LUMPUR: Jerebu yang melanda Cheras, Nilai dan Shah Alam paling teruk di Malaysia pagi ini, apabila mencatat  Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat dengan bacaan melebihi 150.

Kemas kini terbaharu di laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) berakhir jam 8 pagi ini menunjukkan stesen yang mencatatkan IPU terburuk ialah di Cheras, Kuala Lumpur yang merekodkan bacaan 164.

Advertisement

Sementara di Nilai, Negeri Sembilan dan Shah Alam, Selangor pula stesen masing-masing merekodkan bacaan IPU pada tahap 163 dan 158.

Sementara itu, 46 lagi stesen di seluruh negara mencatatkan bacaan melebihi bacaann IPU 50 namun masih di bawah kategori sebagai sederhana.

Dalam pada itu, enam stesen iaitu tiga di Sabah dan tiga lagi di Sarawak merekodkan IPU pada tahap baik apabila mencatatkan bacaan di bawah 50.

Keenam-enam stesen tersebut ialah di Kimanis (17), Kota Kinabalu (40) dan Sandakan (42) di Sabah, manakala di Sarawak masing-masing ialah di Sibu (46), Sarikey (49) dan Miri (48).

Sementara merujuk kepada Facebook, Klon Met Vtwo Metvtwo, keadaan jerebu di beberapa tempat terutama pantai barat Malaysia  termasuk Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor, serta beberapa kawasan di Johor Barat adalah terdedah kepada tiupan angin dari selatan Sumatera membawa jerebu yang berpunca dari kebakaran hutan di daerah Jambi dan Palembang, Sumatera selatan Indonesia.

Angin yang bertiup dari selatan Sumatera menghala ke timur laut membawa sekali jerebu merentasi sempadan. – HARAKAHDAILY 2/10/2023