Dadah ‘rasuk’ bunuh ahli keluarga 

Anggota polis di lokasi kejadian seorang jururawat yang maut dipercayai dibunuh oleh suaminya yang berada di bawah pengaruh dadah pada 30 Sept 2023.

KANGAR: Penagihan dadah boleh menyebabkan ‘rasukan’ sehingga manusia hilang pertimbangan dan mencetuskan kes jenayah seperti samun, curi dan lebih malang sehingga membunuh ahli keluarga terdekat.

Kes seperti ini tidak lagi pelik malah sudah berlarutan begitu lama sehingga ia menjadi barah merosakkan individu, keluarga dan masyarakat.

Advertisement

Guru Takmir Jabatan Agama Islam Negeri Perlis, Ustazah Radziah Mohd Ali berkata, pengambilan ‘najis’ dadah tersebut menyebabkan manusia hilang pertimbangan sehingga melakukan perkara di luar kawalan.

“Pengambilan dadah menyebabkan manusia hilang pertimbangan dan terlalu mengikut emosi, jika kerana cemburu mungkin masih ada pertimbangan.

“Namun,  kerana berada di bawah pengaruh dadah, ada suami yang sanggup menikam isteri kerana mengesyaki isterinya curang,” katanya.

Beliau mengulas tentang kejadian seorang  jururawat Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar yang  wanita maut dipercayai ditikam suaminya akibat cemburu dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu, Arau, Perlis pada Sabtu, 30 Sept lepas.

Ustazah Radziah Mohd Ali

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 6 pagi sewaktu mangsa berusia 31 tahun itu mahu keluar bekerja, dan siasatan polis mendapati berlaku pertengkaran antara suspek yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah dengan isterinya  di ruang tamu kediaman mereka kerana suspek menuduh isterinya itu curang.

Dalam pada itu, Radziah menegaskan, ahli keluarga terdekat perlu mengambil alih tanggungjawab sekiranya berlaku kes sehingga menyebabkan kejadian tragis seperti pembunuhan.

“Apabila berlaku seperti kes suami dibunuh isteri atau sebaliknya, yang mana mereka meninggalkan anak-anak yang masih kecil maka ahli keluarga terdekat perlu mengambil tanggungjawab ini.

“Teruslah memberi perhatian dan pendidikan kepada mereka, kerana mereka ini menjadi mangsa keadaan yang masih belum tahu apa-apa.

“Tambah lagi jika mereka masih berada di bawah umur di mana kasih sayang ibu ayah masih diperlukan,” ujarnya.

Menurutnya, sebagai umat Islam, individu perlu kembali  kepada ajaran yang telah ditetap dan digariskan syariat agama suci ini.

“Amalkan baca Ayatul Kursi sebagai pendinding kita dari malapetaka tidak kira lelaki atau perempuan.

“Amalan ini boleh dibaca pada lima keadaan iaitu selepas mengambil wuduk, sebelum keluar rumah, sebelum masuk rumah, selepas solat fardhu dan sebelum tidur.

“Di samping itu, amalkan bacaan ayat terakhir pada Surah Al-Baqarah tujuh kali selepas solat fardhu, insya-Allah semoga Allah menghantar malaikat untuk menjaga kita dari segala bahaya,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/10/2023