KOTA BHARU: Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berharap kerajaan negeri dan Persekutuan dapat meneruskan projek-projek infrastruktur berimpak tinggi di negeri terbabit.
Titah baginda, projek berkenaan termasuk lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai, Jalan Lingkaran Tengah, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dapat disiapkan mengikut masa yang ditetapkan.
Selain itu, pengurusan sumber air agar lebih lestari dan holistik termasuk mengurangkan kadar Air Tidak Berhasil (NRW) yang mencecah 53.7 peratus tahun lepas.
Dalam pada itu, Sultan Muhammad V menzahirkan rasa dukacita apabila isu jenayah syariah dipandang ringan dan dipermainkan oleh segelintir pihak.
“Beta berharap kerajaan negeri memandang serius dan sentiasa berusaha untuk memperkasa dan mempertahankan Kanun Jenayah Syariah bagi membanteras dan membendung kes jenayah syariah daripada berleluasa,” titah baginda.
Baginda turut bertitah supaya kerajaan negeri mengambil langkah lebih proaktif bagi menjamin sekuriti makanan di negeri itu.
Titah baginda lagi, kerajaan negeri perlu memperhalusi permohonan penukaran status tanah pertanian kepada status bangunan bagi mengekang pengurangan tanah berkenaan.
Tambah baginda, mudah-mudahan dengan cara berkenaan dapat memastikan tiada gangguan dalam rantaian bekalan makanan.
“Beta sedar situasi ekonomi semasa 2023 dijangka akan tumbuh perlahan berikutan ketegangan geopolitik antarabangsa yang menyumbang kepada kenaikan harga barang dan memburukkan inflasi global.
“Justeru, beta harap kerajaan memandang serius perkara tersebut dan beta sarankan langkah jangka pendek bagi mengatasi penderitaan rakyat dari segi tekanan sara hidup perlu dilakukan dengan kadar segara,” titah baginda.
Perkara tersebut dizahirkan baginda menerusi titah di Majlis Pengurniaan Kehormatan Kelantan sempena Hari Keputeraan ke-54 di Istana Balai Besar, di sini semalam yang dibaca Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra ibni almarhum Sultan Ismail Petra.
Sultan Muhammad V turut bertitah supaya misi pelaburan yang berdaya maju dapat dilaksanakan dengan berkesan dan teliti bagi memastikan agenda mempromosikan Kelantan sebagai destinasi pelaburan kompetitif dapat dijayakan.
“Perancangan yang dibuat perlu memastikan pembangunan yang lestari dan menitikberatkan penjagaan alam sekitar.
“Penekanan juga perlu diberikan terhadap pembangunan bandar di sempadan memandangkan ketepuan penduduk dan kegiatan ekonomi rakyat tertumpu di kawasan berkenaan,” titah baginda.
Pada masa sama, Sultan Muhammad V turut merakamkan penghargaan kepada barisan kepimpinan kerajaan penggal lepas di atas khidmat yang dicurahkan dalam memacu kemajuan negeri.
“Tahniah kepada barisan kepimpinan baharu bagi penggal ke-15 yang diterajui Menteri Besar Ustaz Datuk Mohd Nassuruddin Daud,” titah baginda. – HARAKAHDAILY 1/10/2023