KUALA TERENGGANU: Keunikan tujuh pulau peranginan utama di negeri ini berpotensi untuk dipasarkan ke peringkat global.
Pulau berkenaan ialah Pulau Perhentian Besar, Pulau Perhentian Kecil, Pulau Redang, Pulau Tenggol, Pulau Bidong, Pulau Lang Tengah dan Pulau Kapas.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, kerajaan negeri hendaklah meneroka potensi baharu dalam industri terbabit agar dapat memberi nilai tambah kepada aset pelancongan sedia ada.
“Kepelbagaian dan keunikan sumber alam semula jadi bermula dari jajaran pantai sepanjang 244 kilometer, kehijauan hutan hujan tropika, kepelbagaian sumber flora dan fauna, keindahan dasar laut yang memukau.
“Selain itu, khazanah seni, budaya dan warisan yang masih terpelihara merupakan anugerah tidak terhingga daripada Allah SWT buat seluruh rakyat negeri ini.
“Sehubungan itu, kerajaan beta perlu memberi penekanan terhadap penjenamaan produk dengan mengenal pasti Unique Selling Point (USP) yang ditawarkan untuk menarik minat pelancong seperti menjenamakan Terengganu sebagai destinasi pelancongan marin terkemuka di negara ini,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Baginda juga bertitah kerajaan negeri seharusnya mencari kaedah promosi yang lebih strategik bagi melonjakkan aktiviti pelancongan marin Terengganu.
“Penemuan Bidong Shipwreck yang berusia 500 tahun di Pulau Bidong membuktikan terdapat banyak lagi khazanah dasar laut yang perlu diterokai.
“Justeru itu, Galeri Arkeologi Maritim Terengganu wajar diwujudkan agar segala penemuan berharga ini dapat disimpan di suatu tempat yang boleh dijadikan sebagai sumber rujukan dan kajian,” titah baginda.
Titah Sultan Mizan, pelancongan marin yang mencakupi aktiviti-aktiviti berkaitan seperti voluntarism program konservasi penyu dan hidupan marin, penganjuran pelbagai acara berimpak tinggi di pulau-pulau, serta menonjolkan kebudayaan negeri melalui penglibatan komuniti setempat perlu diperluaskan.
“Pengiktirafan Geopark Kenyir baru-baru ini, sangat membanggakan dan memberi citra baharu kepada segmentasi ekopelancongan negeri Terengganu yang perlu diterokai lebih mendalam lagi,” titah baginda. – HARAKAHDAILY 1/10/2023