KANGAR: Sifat parti Islam merangkumi empat ciri iaitu berdakwah menyampaikan ajaran Islam, menyuruh kepada kebajikan, mencegah kemungkaran dan wajib lahir negara berdaulat yang memerintah dengan Islam.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, untuk mencapai perkara itu akan ada cabaran yang menanti.
Katanya, umat Islam perlu ambil iktibar dari Surah Al-A’raf ayat 175 hingga 177 yang mengatakan akan adanya penentangan daripada golongan ulama itu sendiri.
“Empat perkara itu ialah sifat parti Islam sebagai syarat kemenangan dengan syarat wala bagi mengisi kemenangan,” katanya pada Liqa’ Fikri di Komplek PAS Negeri Perlis (KOMPAS) di sini, hari ini.
Turut hadir Mursyidul Am PAS, Dato’ Ustaz Hashim Jasin dan Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Hampir 200 ahli PAS yang terdiri daripada ahli Badan Perhubungan PAS negeri, Ahli Jawatankuasa (AJK) dewan-dewan, AJK PAS kawasan dan cawangan mengikuti program tersebut.
Tuan Guru Abdul Hadi turut menjelaskan perkara yang menjadi syarat kemenangan sebagaimana perjalanan dakwah Nabi Muhammad SAW di Makkah dan Madinah.
“Rendahkan diri bagi orang beriman dan kuat menghadapi musuh serta tidak berpecah dalam perkara cabang,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/10/2023