KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ada pihak menuduh kononnya parti itu mengeluarkan arahan agar lima ‘top 5’ tidak dipertandingkan.
Lima jawatan yang beliau maksudkan sebagai ‘top 5’ itu ialah presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden.
“Ada pihak menuduh kononnya PAS mengeluarkan arahan agar top 5 tidak dipertandingkan.” Ujarnya dalam tulisan menerusi Facebooknya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa parti tidak pernah menghalang mana-mana kawasan untuk mencalonkan sesiapa sahaja untuk mana-mana jawatan.
Bahkan, tegasnya beliau sewaktu merasmikan mesyuarat agung beberapa PAS kawasan memohon agar mereka mencalonkan orang lain untuk jawatan Timbalan Presiden.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menegaskan bahawa jawatan adalah suatu amanah yang perlu dipikul seandainya dipilih.
“Berkat kerjasama jamaah insya-Allah jamaah ini akan terus diberkati Allah.
“Apakah yang mendukacitakan kamu seandainya bebanan yang kamu pikul diangkat dari pundakmu,” ujarnya lagi.
Pemilihan bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk sesi 2023-2025 akan diadakan pada Muktamar Tahunan PAS ke-69, tahun ini.
Muktamar itu dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 22 Oktober ini di Shah Alam. – HARAKAHDAILY 1/10/2023