JASIN: Ahli Parlimen Jasin, Tuan Guru Zulkifli Ismail menzahirkan rasa terharu atas kehadiran mantan Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Jaliluddin Abdul Wahid merasmikan Pusat Khidmat Parlimen beliau.
Katanya, Tuan Guru Jaliluddin tetap hadir walaupun dalam keadaan sangat uzur kerana usianya yang semakin lanjut selain menghidap beberapa penyakit yang membataskan pergerakannya.
“Sambutan pada pagi ini syukur, sangat-sangat menggalakkan. Serta lebih lagi dengan kehadiran yang berbahagia Tuan Guru Haji Jaliluddin Abdul Wahid yang sekali gus walaupun dengan keuzuran beliau yang sangat-sangat menghalang pergerakan beliau.
“Tetapi beliau tetap sudi dan bersedia untuk datang untuk merasmikan kuliah dan juga pusat khidmat menyebabkan program kita pada pagi ini jadi sempurna dan dan berjalan dengan baik, alhamdulillah,” kata beliau.
Tambahnya, kehadiran Tuan Guru Jaliluddin yang aktif sebagai pimpinan PAS di era 80-an hingga 90-an menjadi suatu contoh semangat kepada semua ahli-ahli PAS di negeri Melaka supaya sentiasa bersedia untuk menyumbang kepada perjuangan parti menurut kemampuan yang ada pada diri masing-masing.
“Maka dengan momentum yang begini yang diwariskan oleh kepimpinan PAS daripada kalangan sabiqin seperti Tuan Guru (Jaliluddin) tadi, insya-Allah saya akan kita akan dapat mempertahankan Parlimen Jasin, di Parlimen Tangga Batu.
“Dan meningkatkan lagi kemenangan perjuangan PAS, perjuangan Islam di negeri Melaka ini,” ujarnya kepada Harakahdaily usai program kali pertama Kuliah Duha Bulanan beliau yang berlangsung di Pusat Khidmat Parlimen Jasin di Merlimau, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS negeri berkata, program ‘kuliah duha bulanan’ itu dijalankan untuk menjadi landasan mengikat silaturrahim antara rakyat dengan pemimpin di dalam kerangka majlis ilmu.
Tambah beliau, program ini adalah usaha yang diambil untuk mencapai cita-cita yang diinginkan iaitu melihat negeri ini dapat mengikuti langkah-langkah yang telah pun dimulakan oleh Kelantan Terengganu, Kedah dan Perlis dalam menegakkan syiar-syiar Islam dalam pemerintahan.
“Itu cita-cita kita yang sangat tinggi. Kita berharap Allah SWT memberikan keikhlasan dan kekuatan kepada kita untuk terus istiqamah sehingga cita-cita ini menjadi kenyataan insya-Allah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/9/2023