Surah Taha: Prinsip, pendekatan dan cabaran dakwah (1)

PENGENALAN surah

Surah Taha adalah surah yang ke-20 dan dalam juzuk ke-16. Surah ini mengandungi 135 ayat. Dinamakan sebagai surah Makkiyyah kerana diturunkan di Makkah sebelum Nabi Muhammad S.A.W berhijrah. Surah ini dimulakan dengan dua huruf iaitu Taa ط dan Haa ه . Huruf-huruf ini merupakan huruf-huruf Muqatta’ah iaitu huruf-huruf yang terpisah.

Contoh lain dalam al-Quran ialah dua huruf seperti Yaa Siin, satu huruf seperti Nun, Qaf, Saad, tiga huruf seperti Alif Lam Mim, Alif Lam Ra, empat huruf seperti Alif Lam Mim Ra, Alif Lam Mim Sad dan lima huruf seperti Kaf Ha Ya ‘Ain Sad, Ha Mim ‘Ain Sin Qaf.

Ada ulamak yang memberikan makna kepada perkataan-perkataan ini tetapi secara umumnya adalah Allah sahaja yang lebih mengetahui maksudnya. Ada pendapat yang mengatakan bahawa Taa Haa ialah nama Nabi.

Intisari ayat

Antara intisari kandungan surah ini adalah menerangkan mengenai tugas Nabi Muhammad S.A.W. Juga disusuli dengan kisah dakwah Nabi Musa kepada kaumnya sebagai satu bentuk panduan dan pedoman kepada Baginda Nabi Muhammad S.A.W. Sebab Nabi Musa antara Nabi yang lama berhadapan dengan kaumnya yang bermacam-macam kerenah.

Allah S.W.T menegaskan mengenai nikmat-nikmat yang dikurniakan kepada manusia supaya mereka bersyukur. Allah juga menerangkan mengenai hari akhirat dan balasan yang akan didapati oleh orang-orang yang beriman dan yang ingkar. Dalam masa yang sama Allah mengajarkan Nabi agar berdoa supaya ditambahkan ilmu. Setara Nabi pun diminta oleh Allah S.W.T untuk berdoa memohon agar ditambahkan ilmu.

Allah S.W.T menegur kita supaya tidak tergesa-gesa dalam kerja buat dan tidak lupa akan perintah-Nya. Kalau kita tergesa-gesa, kadang-kadang kita lupa segalanya dan mungkin akan melakukan kesilapan. Dibawakan kisah tentang Nabi Adam A.S di dalam syurga yang Baginda dilarang daripada makan buah Khuldi. Tetapi Baginda terlupa sehingga akhirnya dikeluarkan daripada syurga.

Selain itu, Allah S.W.T menegaskan betapa wajibnya solat lima waktu. Solat tidak boleh dilakukan seperti ‘ayam patuk padi’ tetapi mestilah dengan cermat dan ada toma’ninah. Ketika beribadah, kita diminta untuk bersabar. Sebab cabaran yang dihadapi adalah masa ketika sibuk bekerja.

Kononnya nak mencari nafkah, jangan sampai mengabaikan solat, puasa dan ibadat lain. Beringatlah kerana rezeki adalah di tangan Allah S.W.T. Kadang-kadang, kita tidak melakukan kerja yang banyak tetapi Allah memberi rezeki yang banyak dan kadang-kadang, kita berusaha lebih tetapi hasilnya sedikit.

Kesudahan yang baik di akhirat akan didapati oleh orang yang baik akhlak dan bertakwa. Surah ini diakhiri dengan menyuruh Baginda S.A.W menjawab kepada golongan kafir yang menentangnya supaya mereka menunggu kerana mereka akan mengetahui kelak pada hari kiamat siapa yang benar dan siapa yang salah.

Tugas Nabi menyampaikan

Advertisement

طٰهٰ

“Taa, Haa. (1)”

Allah sahaja lebih mengetahui akan maksudnya:

مَآ اَنْزَلْنَا عَلَيْكَ الْقُرْاٰنَ لِتَشْقٰٓى

“Kami tidak menurunkan Al-Quran ini kepadamu (wahai Muhammad) agar kamu menjadi susah. (2)”

Al-Quran yang diturunkan bukan untuk menyusahkan. Baginda S.A.W hanya perlu menyampaikannya kepada manusia. Tidak kira sama ada orang mahu menerima atau tidak dan mahu beriman atau tidak. Serahkan sahaja kepada Allah S.W.T. Tidak perlu untuk berfikir, mengapa orang tidak mahu mendengar walaupun telah dibaca al-Quran kepadanya dan tidak mahu mengikut walaupun dia telah didakwah? 

اِلَّا تَذْكِرَةً لِّمَنْ يَّخْشٰى

“Tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah). (3)”

Konsep wahyu yang sebenar

تَنْزِيْلًا مِّمَّنْ خَلَقَ الْاَرْضَ وَالسَّمٰوٰتِ الْعُلٰى

“Iaitu diturunkan daripada Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. (4)”

Allah menggunakan fiil mutaaddi iaitu ‘anzala‘ ‘nazzala‘. Bermakna al-Quran ini diturunkan bukannya datang daripada fikiran Nabi S.A.W. Dalam ayat keempat ini, dijelaskan bahawa al-Quran ialah wahyu yang diturunkan daripada Tuhan yang telah mencipta bumi dan langit. Perkataan, isi kandungan dan maknanya 100 peratus datang daripada Allah S.W.T. Justeru, semuanya mempunyai maksud yang penting dan perlu dipelajari sehinggakan huruf-huruf Muqatta’ah yang disebutkan dalam al-Quran pun mempunyai makna, yang tidak boleh ditinggalkan. Betapa cermatnya ulamak dapat menterjemah dan mentafsir al-Quran. Sebab maknanya mendalam. Oleh sebab itu, tafsir akan selalu ada sepanjang zaman. Tafsir baru akan ada di mana tafsir itu ditafsir oleh alim ulamak bukannya orang bukan-Islam seperti yang berlaku pada hari ini.

Dalam ilmu akidah, ada perbincangan mengenai konsep wahyu. Wahyu dalam Islam tidak sama dengan wahyu dalam Kristian. Wahyu dalam Kristian disebut sebagai ‘God Inspired’ atau ilham. Kitab Bible, Taurat dan Injil adalah ilham.

Bible ada 4 kitab iaitu Matthew (Matius), Mark (Markus), Luke (Lukas) dan John (Yohanes). Menurut kajian, keempat-empatnya mempunyai percanggahan dan kandungannya tidak selaras. Sebab ia datang daripada fikiran manusia kemudian ditulis.

Namun, al-Quran adalah 100 peratus datang daripada Allah S.W.T. Pada permulaan surah al-Baqarah, dijelaskan bahawa ia tiada sebarang keraguan. Allah S.W.T telah menafikan keraguan manusia terhadap keasliannya. Walaupun sudah berusia ribuan tahun, ia masih lagi tulen 100 peratus.

Allah menjaga al-Quran dan tidak akan membiarkan orang menukar, meminda atau mengubahnya. Antara caranya adalah dengan melahirkan orang yang menghafal al-Quran atau hafiz. Ketika membacanya, kalau kita salah, dia akan menegur dan membetulkan. Kalau ada kesilapan dalam percetakan, orang akan dapat mengetahuinya.

Bersederhanalah dalam agama

اَلرَّحْمٰنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوٰى

“(Iaitu) Tuhan Yang Maha Pemurah, yang bersemayam di atas Arasy. (5)”

Antara nama Allah yang menurunkan kitab suci al-Quran ialah Ar-Rahman. Dalam Hadis Tirmizi, disebut bahawa Allah mempunyai 99 nama yang wajib kita ketahui [1]. Dalam Hadis lain, disebut bahawa sesiapa yang menjaga iaitu menghafalnya, dia akan dijamin syurga [2].

Bagaimana Allah bersemayam di atas Arasy? Tiada siapa pun yang mengetahuinya. Nabi tidak pernah memberitahu, Sahabat tidak pernah bertanya, jadi tidak usah kita berbahas mengenainya. Walaupun ada pandangan yang mentakwilkannya.

Pandangan pertama ialah pandangan Salaf. Dia menerima seperti mana yang disebut dalam al-Quran. Pandangan kedua pula ialah pandangan Khalaf. Dia mentakwil maksud bersemayam di atas Arasy, bermakna Allah menguasai alam ini. Bukan bersemayam seperti raja.

Bagaimana? Terpulang pada-Nya. Almarhum Tok Guru Nik Aziz pernah menyebut, mustahil wajah Allah sama dengan manusia. Muka ayam, lembu dan manusia masing-masing tidak serupa. Muka pintu, muka tembok dan muka tangga juga tidak serupa.

Inilah khilaf dan kedua-dua pandangan ini betul. Satu pandangan yakni Khalaf mentakwil sebegitu kerana bimbang kalau orang menganggap Allah serupa dengan makhluk. Satu pandangan lagi yakni salaf menerima sahaja sebegitu tanpa perlu banyak berfikir. Pandangan yang salah adalah yang menghuraikan dan terus menghuraikan sehingga menyamakan Allah dengan manusia.

Oleh itu, kita haruslah cermat dan tidak perlu berbalah dengan perkara yang tidak berkesudahan sejak dari dulu lagi. Sehingga tahap kafir mengkafirkan antara satu sama lain. Jadi, kita haruslah bersederhana dalam hal ini.

Kalau Allah menyebut mengenai duduk, wajah, tangan dan sebagainya, kita perlu ‘letak dalam kepala’ bahawa ia tidak serupa dengan makhluk. Firman Allah dalam Surah Al-Shura, ayat ke-11:

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ

“Tiada benda yang serupa dengan Allah.” 

Dijelaskan lagi dalam surah al-Ikhlas, ayat ke-4:

وَلَمْ يَكُن لَّهُ كُفُوًا أَحَدٌ

“Allah tidak serupa dengan mana-mana makhluk.”

Kadang-kadang, perkara ini menyebabkan perbalahan antara asatizah kerana masing-masing ingin menegakkan pandangan. Ada juga sesetengahnya yang mahu isbat berlebih-lebihan sehingga menganggap Allah serupa dengan makhluk. Sesetengahnya pula menafikan secara berlebih-lebihan sehingga Allah itu tiada sifat langsung.

Banyak perkara lain yang jauh lebih besar untuk kita ambil berat seperti masalah masa depan orang Islam, kepimpinan ummah dan siyasah. Jadi, masalah Allah tidak serupa dengan makhluk sebenarnya sudah lama diselesaikan oleh ulamak terdahulu. Begitu juga dengan masalah fekah.

Yang penting adalah sifat sederhana dalam beragama. Ia akan membuka ruang kepada sikap kerjasama, tolak ansur dan hormat-menghormati antara satu sama lain. Masalahnya adalah benda yang tidak sepatutnya untuk kita berbalah, kita berbalah dan begitulah sebaliknya.

Ada seorang ulamak menulis kitab yang bertajuk ‘Ma La Yajuzu Fihil Khilaf Bainal Muslimin’. Sudah pasti semua mazhab fekah masing-masing mempunyai perbezaan. Mazhab fekah ada banyak lagi selain 4 mazhab, cuma 4 mazhab muktabar sahaja yang kita kenali. Ada mazhab yang jarang kita dengari namanya tetapi adakalanya pandangannya juga baik.

Imam Syafie seorang yang imam yang hebat dan mempunyai anak murid atau pengikutnya yang hebat seperti Imam Nawawi dan As-Subki. Kalau orang itu mempunyai anak-anak murid yang hebat, tentunya ilmunya berkembang dan diterima.

Tetapi Abu Daud Az-Zahiri tidak mempunyai anak murid yang hebat kecuali seorang yang terkenal iaitu Ibnu Hazam dari Andalus. Jadi, mazhab Syafie dipegang oleh ramai ulamak besar dan hebat. Ini merupakan antara faktor mazhabnya berkembang sehingga ke Nusantara.

Kata Profesor Syed Najib, inilah antara hujah bahawa orang yang membawa agama Islam ke Nusantara ialah bukan datang dari India tetapi langsung dari Tanah Arab. Kalau orang yang membawa agama Islam datang dari India seperti yang disebut oleh golongan orientalis, kita di Nusantara akan berpegang dengan mazhab Hanafi. Sebab di India sehingga sekarang berpegang dengan mazhab Hanafi.

Tetapi, kita di Nusantara termasuklah Tanah Melayu, Indonesia, Brunei, Singapura dan Filipina berpegang dengan mazhab Syafie. Terbukti bahawa Islam datang langsung dari Tanah Arab. Maka, janganlah kita taksub dalam mazhab dan haruslah berlapang dada.

Segala-galanya milik Allah S.W.T

لَهٗ مَا فِى السَّمٰوٰتِ وَمَا فِى الْاَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا وَمَا تَحْتَ الثَّرٰى

“KepunyaanNyalah semua yang ada di langit, semua yang ada di bumi, apa yang ada di antara keduanya, semua yang ada di antara keduanya, dan semua yang ada di bawah tanah. (6)”

Allah S.W.T bersemayam di atas Arasy dan Dia memiliki segala-galanya. Semua yang ada di langit, di bumi, di dalam tanah, di dalam air dan di udara adalah milik-Nya. Cuma Dia memberikan peluang kepada kita untuk memanfaatkannya dan kita dilatih untuk menjadi khalifah.

Kita memakmurkan langit dan bumi dengan ilmu dan keperluan yang telah disediakan. Akal yang diberikan kepada kita inilah yang memberikan ilmu. Ilmu ini berkembang dengan keperluan yang telah sedia ada di atas bumi, di dalam bumi dan di udara.

Dengan ilmu, sesuatu itu dapat diproses menjadi barang yang bermanfaat. Sebagai contoh, gajah telah sedia dicipta oleh Allah S.W.T, jadi tinggal kita melatihnya untuk menarik balak, membawa barangan atau penumpang, dijadikan sebagai pengangkutan dan dibawa ketika peperangan.

Minyak boleh menerbangkan kapal terbang, kereta dan sebagainya. Kemungkinan pada masa hadapan kalau tiada minyak atau elektrik, hidrogen atau kuasa air dapat digunakan sebagai alternatif:

وَاِنْ تَجْهَرْ بِالْقَوْلِ فَاِنَّهٗ يَعْلَمُ السِّرَّ وَاَخْفٰى

“Dan jika kamu menguatkan ucapanmu, maka sesungguhnya Dia mengetahui rahsia dan yang lebih tersembunyi. (7)”

Allah mengetahui apa yang terlintas di dalam hati kita. Jagalah hati kita supaya hadir lintasan-lintasan yang baik. Disebut dalam satu Hadis, kalau kita terlintas benda yang baik dan tidak melaksanakannya pun akan memperoleh pahala [3]. Tetapi, kalau kita terlintas benda yang tidak baik, tidak menjadi apa-apa kecuali apabila kita melaksanakannya. Oleh itu, ulamak berpesan agar kita sentiasa memperelokkan niat:

اَللّٰهُ لَآ اِلٰهَ اِلَّا هُوَۗ لَهُ الْاَسْمَاۤءُ الْحُسْنٰى

“Dialah Allah, tidak ada Tuhan melainkan Dia, Dia yang mempunyai al-Asma’ul-Husna (nama-nama yang baik). (8)”

Tiada Tuhan yang berhak disembah selain daripada Allah S.W.T. Dia memiliki nama-nama yang baik, maka kita hendaklah menyeru dengan menggunakan nama-nama yang diajar iaitu 99 nama seperti yang disebut dalam Hadis Tirmizi. Adapun ada lagi nama-nama Allah yang lain selain 99 itu yang disebut dalam al-Quran.

Ada satu doa yang diajar oleh Nabi S.A.W supaya kita membacanya kalau kita sedang berdukacita, sedih, runsing dan sakit kepala iaitu: 

اللَّهُمَّ إِنِّي عَبْدُكَ، ابْنُ عَبْدِكَ، ابْنُ أَمَتِكَ، نَاصِيَتِي بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ، أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوِ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قَلْبِي، وَنُورَ صَدْرِي، وَجَلَاءَ حُزْنِي، وَذَهَابَ هَمِّي

Dalam doa ini, merujuk kepada apa yang Nabi S.A.W sebut [4], bermakna ada banyak lagi nama-nama Allah yang tidak disebut dalam al-Quran mahupun Hadis tetapi, diberikan ilham kepada orang alim, diturunkan dalam kitab-kitab atau yang disimpan dalam ilmu ghaib-Nya dan tidak diajarkan kepada sesiapa pun.

Ulamak mengajar kita apabila mempunyai sesuatu hajat, maka pilihlah nama-nama Allah yang sesuai dengan hajat kita. Sebenarnya nama-nama Allah melengkapi dan mengurus keperluan hidup kita. Walaupun Allah mempunyai nama dengan sifat-sifatNya, Dia tetap Maha Esa.

Sebagai contoh, kalau mahukan keselamatan dan kesejahteraan terutama pada musim COVID-19 baru-baru ini, gunalah nama ‘Ya Salam‘ dan ulanglah beberapa kali. Kalau kita mahukan rezeki, gunalah nama ‘Ya Razzaq‘. Kalau mahu Allah melindungi kita daripada kejahatan, gunalah nama ‘Ya Hafiz‘. Kalau mahu ilmu, gunalah nama ‘Ya ‘Alim‘ atau ‘Ya Fattah Ya ‘Alim‘.

Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Yang di-Pertua Dewan Negeri Kelantan, Dato’ Haji Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 25 September 2023 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan.HARAKAHDAILY 29/9/2023

Rujukan:

[1] Hadis Riwayat Imam Al-Tirmizi (no. Hadis 3507).
[2] Hadis Sahih Riwayat Imam Bukhari (no. Hadis 2736) dan Muslim (no. Hadis 2677).
[3] Hadis Sahih Riwayat Imam Muslim (no. Hadis 130).
[4] Hadis Riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya (no. Hadis 3712).