PAS tunggu keputusan bertulis Mahkamah Pilihan Raya

Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA TERENGGANU: PAS bersedia dengan apa jua kemungkinan berhubung pembatalan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Advertisement

Naib Presidennya, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata pihaknya kini sedang menunggu keputusan bertulis dari Mahkamah Pilihan Raya Terengganu.

“Kami tunggu written judgement (penghakiman bertulis) daripada hakim untuk meneliti apa yang diputuskan, berdasarkan kepada keputusan bertulis itu, PAS akan buat keputusan.

“Saya jangka akan ada mesyuarat PAS Pusat. Kita terbuka dengan apa jua pilihan dan kita akan buat keputusan sama ada pilihan raya atau tidak,” katanya selepas menghadiri sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri di Stadium Tertutup Gong Badak di sini, semalam

Bagaimanapun, Dr Ahmad Samsuri yakin sekiranya diadakan Pilihan Raya Kecil Parlimen Kemaman pihaknya akan memperolehi majoriti lebih besar.

“Berdasarkan mood semasa insya-Allah kita yakin untuk memperolehi majoriti lebih besar,” katanya.

Ditanya sama ada calon sedia ada dikekalkan atau terdapat calon lain, beliau berkata, perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat PAS Pusat nanti.

Selasa lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias pada PRU-15 bagi kerusi Parlimen berkenaan.

Hakim Pilihan Raya, Datuk Anselm Charles Fernandis membuat keputusan tersebut setelah mendapati wujud unsur sogokan kepada pengundi ketika tempoh kempen.

Pada pilihan raya itu, Che Alias menewaskan tiga calon lain termasuk bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dengan majoriti 27,179 undi. – HARAKAHDAILY 29/9/2023