BACHOK: Bantuan bulanan berupa beras al ita’am dicadang agar ditingkatkan kepada 20 kilogram khusus bagi keluarga atau ibu tunggal, yang mempunyai anak yang ramai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jelawat, Zameri Mat Nawang berkata kerajaan melalui penghulu mukim dapat melaksanakan serta mengenal pasti individu terbabit untuk menerima bantuan.
Beliau berkata, peningkatan kos sara hidup ketika ini bukan sahaja membabitkan barangan keperluan lain malah makanan ruji rakyat Malaysia, beras turut mengalami kenaikan yang mendadak.
“Kita kena buat penambahbaikan lagi, kena ada perbezaan dengan antara keluarga ramai anak dan keluarga yang hanya cukup 10 kilogram bantuan beras ini dan barang harian yang lain.
“Kepada ibu tunggal dan anak yang ramai mungkin kita boleh bagi 20 kilogram, tetapi kena buat penilaian semula setiap orang tidak sama masalah dia, cadangan saya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Agihan Beras Ita’am yang diadakan secara bulanan membabitkan 300 penduduk di Pusat Khidmat Masyarakat Dun Jelawat di sini, hari ini.
Kerajaan negeri sejak 2011 melaksanakan skim al Ita’am yang membabitkan 45 kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) dan tetap diteruskan sehingga kini membabitkan peruntukan RM49.1 juta.
Malah bantuan itu dinikmati lebih 13,000 penerima beras 10 kilogram, minyak masak satu kilogram, gula, dan tambahan satu kotak kurma pada bulan Ramadan turut diagihkan kepada penerima.
“Ini menunjukkan kerajaan kita cakna kepada rakyat dan berkongsi rezeki kepada rakyat terutamanya membantu rakyat yang miskin tambahan sekarang ini dengan kenaikan harga barangan.
“Jadi sedikit sebanyak program begini boleh membantu rakyat dan meringankan beban rakyat ketika ini, oleh program seperti ini kita minta lagi dan ditambah lagi penyertaannya,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/9/2023