BACHOK: Reformasi yang dicanang oleh Pakatan Harapan (PH) tidak membawa sebarang erti apabila kerajaan memutuskan penubuhan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP).
Malah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jelawat, Zameri Mat Nawang berkata ia merupakan satu lagi tindakan politik yang dilakukan untuk mewujudkan suasana tidak harmoni dalam kehidupan rakyat.
Beliau berkata, keputusan sedemikian seolah-olah melanggar mandat yang diberikan rakyat pasca Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan enam negeri baru-baru ini.
“Kita ada jentera kita kerajaan negeri melantik penghulu di mukim, maka sepatutnya begitulah selepas pilihan raya kita kena membangunkan negara tanpa mengira latarbelakang politik, tiada JPKKP.
“JPKKP diwujudkan di negeri pembangkang, JPKK juga diwujudkan di negeri sealiran dengan kerajaan pusat hari ini, walaupun berbeza tetapi kena ikut kerajaan yang sudah dipilih rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Agihan Beras Ita’am yang diadakan secara bulanan membabitkan 300 penduduk di Pusat Khidmat Masyarakat Dun Jelawat di sini, hari ini.
Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mengumumkan untuk menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta JPKKP di negeri pembangkang.
Menurutnya JPKK akan ditubuhkan di negeri yang diperintah oleh Pakatan Harapan dan Barisan Nasional dalam Kerajaan Persekutuan, manakala JPKKP pula bagi negeri yang tidak sealiran dengan kerajaan.
Zameri berkata lagi, penubuhan jawatankuasa itu merupakan salah satu strategi politik yang telah dirancang untuk menyaingi kekuatan PERIKATAN NASIONAL (PN) di peringkat akar umbi.
Beliau berkata, orang Melayu khususnya sudah menolak BN dan Umno khususnya selepas mengambil keputusan untuk menyokong PH dan DAP untuk membentuk kerajaan di Putrajaya.
“Kita tahu ini merupakan strategi politik sebenarnya yang dibuat oleh kerajaan Madani hari ini supaya dia boleh menguasai kampung-kampung selepas orang Melayu tidak memilih Umno pada pilihan raya.
“Tubuh JPKKP ini agar dia boleh kuasai kampung dan peruntukkan pun akan disalurkan kepada jawatankuasa ini dia tidak salur kepada negeri, pejabat tanah apatah lagi pengawa yang dilantik,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/9/2023