Beri mandat wakil PN bawa suara rakyat di DUN Pahang

BENTONG: Ahli Parlimen Kapar, Dr. Halimah Ali menyeru penduduk Pelangai termasuk Melayu, Cina, India dan Orang Asli memberi mandat kepada wakil rakyat PERIKATAN NASIONAL (PN) membawa suara rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.

Advertisement

Menurutnya, ini penting agar rakyat yang semakin hari kian menderita dihimpit pelbagai tekanan dan masalah ekonomi akan didengari dan terbela nasib mereka andai PN diberi peluang berkuasa.

“Apabila suara wakil rakyat daripada pembangkang ramai di DUN Pahang, kerajaan akan dengar suara-suara, isu-isu rakyat.

“Isu wanita, pemuda, remaja, peniaga, barang naik, ringgit Malaysia jatuh, orang berniaga susah, orang nak beli susah, yang keluar ‘U’ susah.

“Saya rasa semuanya dah tahu kita sekarang ini mahu suara yang lebih untuk angkat suara rakyat di dalam Dewan Undangan Negeri Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Pesta Tanglung dan Kuih Bulan anjuran Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) PAS Pusat yang diadakan di dataran niaga Telemong, petang semalam.

“Kita ada Yang Dipertua PAS Bentong, Cikgu Khairuddin Abdullah, keturunan Orang Asal, ni Mr. Low Lee Leong berbangsa Cina ‘pure’ (Pegawai Khas Hal Ehwal Bukan Melayu Pesuruhjaya PAS Selangor) dan Dato’ Sri Chandra Balabedha dari Parti Gerakan berbangsa india.

“We are working our talk’ bahawa PAS ini bukan hanya mewakili satu kaum, bukan hanya satu bangsa, ‘but we are all’.

“Saya ada pantun untuk orang Pelangai, tepuk amai-amai, belalang kupu-kupu, tepuk Pelangai pandai, hari Sabtu jangan lupa undi Cikgu Kasim calon nombor satu,” ujar Pengerusi LPN PAS Pusat itu diikuti tepukan gemuruh daripada para tetamu dan penduduk yang hadir. Calon PN PRK Pelangai, Cikgu Kasim Samat dan Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS Raub, Mr. Chin Choy Hee turut hadir.

Program itu amat penting bagi mengeratkan hubungan serta perpaduan antara bangsa, berpeluang untuk saling mengenali dan memahami budaya hidup masing-masing sejajar dengan motto ‘PAS For All’.

Dr. Halimah bersama pimpinan PN dari kawasan Raub dan Cameron Highland turun ke Pelangai bagi membantu kempen PRK Pelangai di Unit Daerah Mengundi yang didominasi pengundi Cina, India dan Orang Asal iaitu Telemong, Manchis, Sungai Gapoi dan Perdak. – HARAKAHDAILY 29/9/2023