772 bakal terima pengurniaan Kehormatan Kelantan

Nazran (tengah), Nik Mohd Shafriman (kiri) dan Mamat Ariffin memegang senarai penerima Pengurniaan Kehormatan negeri Kelantan.

KOTA BHARU: Seramai 772 individu bakal menerima pengurniaan Kehormatan Gelaran-gelaran, Darjah-darjah Kebesaran, Bintang- bintang, Pingat-pingat dan Surat Kepujian sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V ke-54 tahun ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhammad berkata, menjunjung titah perintah dan limpah kurnia Sultan Muhammad V turut akan melantik enam individu menjadi Jaksa Pendamai.

Advertisement

Menurutnya, istiadat terbabit dimulakan dengan 98 penerima pada sesi pertama, pada jam pagi esok, Sabtu dan selebihnya pada sesi seterusnya yang dimaklumkan kelak. 

Beliau juga mengumumkan bahawa baginda telah perkenan mengurniakan satu gelaran pengurniaan Dato’ Bergelar dan 354 bagi Darjah Kebesaran termasuk kepada 38 individu yang membawa gelaran Dato’.

“Turut akan menerima ialah  Bintang-bintang seramai 234 orang dan Pingat-pingat berjumlah 183 orang,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Sultan Kelantan, Istana Balai Besar di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengelola Istana D’Raja Kelantan, Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan dan Ketua Istiadat Kelantan, Mejar Jeneral (B) Datuk Mamat Ariffin Abdullah.

Sehubungan itu, Nazran turut mengucapkan tahniah kepada mereka yang terlibat dan menjayakan istiadat pengurniaan pada kali ini.

Perayaan menyambut Hari Keputeraan Sultan Kelantan dirangka meliputi istiadat dan susunan seperti Majlis Solat Hajat dan Doa Selamat di Masjid Muhammadi Kota Bharu dan semua masjid-masjid daerah bermula pada Khamis.

Turut diadakan ialah Istiadat Pemeriksaan Barisan Kehormat di Padang Merdeka, Kota Bharu. – HARAKAHDAILY 29/9/2023