SAYA menggesa agar kerajaan segera mencari mekanisme terbaik bagi memastikan minyak masak paket bersubsidi tidak dieksploitasi oleh warga asing. Realitinya, warga asing bukan sahaja membeli sewenang-wenangnya, namun mereka turut menjualkannya di kedai-kedai runcit secara berleluasa.
Merujuk kepada kenyataan, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup di Dewan Negara baru-baru ini ada menyatakan bahawa kementerian akan menambah kuota minyak masak paket bagi menangani isu ini. Namun begitu, langkah pengawalan penjualan minyak masak bersubsidi kepada warga asing masih lagi samar.
Oleh itu, insentif penambahan kuota pastinya tidak akan menyelesaikan isu penjualan barang bersubsidi kepada warga asing. Perkara ini sewajarnya dipandang serius oleh kementerian kerana ketirisan pemberian subsidi kepada warga asing akan memangsakan rakyat.
Kegusaran rakyat berkenaan kekurangan dan kenaikan harga beras yang masih belum berjaya diselesaikan ditambah pula dengan isu kekurangan minyak paket bersubsidi di pasaran pastinya menambahkan tekanan kos sara hidup rakyat.
Justeru, saya mencadangkan kepada pihak kementerian untuk mempertimbangkan agar setiap pembelian barang bersubsidi termasuk minyak masak paket mestilah dikenakan syarat yang ketat seperti mempamerkan kad pengenalan atau kad MySejahtera seperti mana yang dilaksanakan di negara lain antaranya Indonesia. Langkah tersebut bukan sahaja mampu mengekang isu pembelian minyak bersubsidi oleh warga asing malah ia mampu menyelesaikan isu pembelian barang tersebut secara berlebihan.
“Malaysia Sejahtera”
YB SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIR
Ahli Parlimen Setiu – HARAKAHDAILY 28/9/2023