DI MALAYSIA, kini, tiada parti yang berbangga dengan pegangan sekular walaupun mereka dimaklumi bergelumang sehingga ke lubang najis sekular itu. Sikap ini sebenarnya adalah dari desakan yang sangat kuat PAS terhadap pegangan sekular pemerintah yang mereka pegang bermula dari penubuhan parti mereka, politik dan agama tidak boleh dipisahkan. Akhirnya Umno, parti terkuat yang mengamalkan sekular, tunduk kepada persetujuan perwakilan mereka bagi menukar, sekurang-kurangnya Perlembagaan mereka kepada Islam, walaupun belum lagi melaksanakannya. Ia berlaku bila mereka berkawan dengan PAS.
Tun Mahathir dahulunya sering ‘menganjing’ kepada PAS apabila PAS mahu melaksanakan hukum hudud. Namun setelah beliau berkawan dengan PAS dan meneliti dan melihat sendiri akan usaha-usaha baik PAS dalam agama, beliau tidak lagi sinis dengan kerja buat PAS dalam politik yang berasaskan Islam. Beliau membaca tafsir al-Quran dan faham. Beliau yakin PAS sangat serius dengan Islam setelah mendapat penjelasan yang baik daripada Tan Sri Presiden PAS.
Dalam satu kisah, allahyarham Tun Ghafar Baba, ada berkunjung ke pejabat Menteri Besar Kelantan sewaktu beliau sudah agak uzur. Cerita Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz (TGNA), Allahyarham Tun hanya melihat-lihat dalam pejabat beliau dan tidak bercakap banyak. Beliau bermaaf-maafan dengan allahyarham TGNA sebelum meninggalkan pejabat Menteri Besar. Kalau sebelum itu, mereka sering bermusuhan atas dasar mempertahankan ideologi masing-masing.
Bila sahaja Kelantan berjaya diambil oleh PAS dalam tahun 1990, tanpa berlengah, banyak hal yang membawa kepada terjulangnya Islam, telah dibuat oleh Kerajaan Negeri. Tidak sedikit yang akhirnya ditiru oleh Kerajaan Pusat setelah melihat kebaikan yang banyak dalam peraturan itu. Pengharaman judi, riba, mengawal hiburan, peraturan berpakaian dan banyak lagi termasuk cuti bersalin. Kelantan sebagai pelopor, negeri-negeri lain yang berjaya PAS kuasai kemudiannya hanya mengambil acuan itu di samping beberapa penambah baik lagi.
Terengganu sewaktu menerima bayaran wang royalti, telah meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000 kepada semua ADUN termasuk pembangkang. Sayangnya ia terpaksa dihentikan apabila Kerajaan Pusat, atas desakan Umno Terengganu, telah menukar pemberian wang itu dengan cara yang jahat dan tidak lagi melalui Kerajaan Negeri yang sah. Dan apabila Terengganu diambil semula oleh PAS, peruntukan itu diteruskan, malah ditambah menjadi RM250,000 bagi setiap ADUN. Sama juga di Kedah dan Perlis, Menteri Besar – Menteri Besar mereka telah berikrar untuk mengagih-agihkan peruntukan dengan saksama.
Semua ini, berjaya dilakukan adalah kerana keazaman yang begitu kuat bagi memenuhi kehendak agama yang menyeru agar pemerintah berlaku adil kepada semua rakyatnya. Kerana keadilan Islam ini, maka terbukti zaman berzaman. Islam disukai oleh rakyat walaupun mereka sendiri masih belum Islam. Mereka merasa tenang dan lapang dengan kehidupan di bawah Islam. Akhirnya mereka sendiri dengan rela hati memeluk Islam. Akhlak Islam menarik hati-hati mereka.
Begitu juga ahli dan penyokong jemaah Islam. Apabila mereka mendengar pengumuman oleh Kerajaan Negeri untuk memberikan bantuan secara sama rata, mereka merasa amat gembira kerana dapat membayangkan Islam itu bersifat dan dilihat adil. Mereka tidak membantah langsung pembahagian sama itu walaupun dahulunya mereka sering diketepikan kerana kezaliman pemerintah yang mengikut sekular. Tiada dendam. Malah mereka sangat menggalakkan Kerajaan Negeri dalam hal ini. Ini kerana Islam sudah tersemat dalam hati mereka.
Berbanding dengan penyokong sekular, mereka begitu gembira apabila ketua mereka mengugut tidak mahu memberikan bantuan kepada lawan mereka, seolah-olah satu kemenangan yang gilang gemilang yang dicapai oleh mereka kerana melihat pembangkang merana, walaupun itu semua duit rakyat. Sama kelaku semua pemimpin zalim di seluruh dunia, dendam adalah kepuasan mereka, walaupun bukan hak mereka. Nampakkan beza akhlak sekular yang semua boleh dia sapu tanpa memasukkan unsur agama sebagai pengawal dalam tindak tanduk mereka dengan akhlak pemimpin Islam yang sering mahu membantu rakyat, mengenepikan dendam.
MOHD NASIR ABDULLAH
28 September 2023 – HARAKAHDAILY 28/9/2023
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.
Antara asas Islam dan sekular
- Advertisement -