Teori kebebasan yang menjadi liar

- Advertisement -

SAYA melihat ideologi Barat rata-rata bercakap mengenai teori kebebasan. Antaranya;

1- Sekularisme memperjuangkan supaya sesebuah negara itu bebas daripada pengaruh agama.

2- Atheisme pula doktrin membebaskan minda manusia daripada kepercayaan terhadap ghaib.

3- Humanisme ideologi yang memperjuangkan kebebasan manusia sebagai manusia.

4- Liberalisme pula memperjuangkan kebebasan manusia, bebas daripada sebarang kongkongan atau bebas melakukan apa sahaja.

5- Kapitalisme memperjuangkan kebebasan berniaga ke atas para pemodal.

6- Sosialisme pula memperjuangkan kebebasan hak golongan pekerja daripada penindasan kapitalis.

7- Hedonisme dan utilitarianisme pula satu bentuk kebebasan sosial.

8- Feminisme pula mendakwa mereka membebaskan kaum wanita daripada penindasan jantina.

9- LGBTQ mendakwa mereka memperjuangkan kebebasan berjantina sebagai semangat humanisme.

Dan banyak lagi.

Cuma yang menjadi masalah mereka ialah kegagalan mereka untuk melahirkan satu teori yang benar-benar terbukti membawa erti kebebasan yang hakiki.

Masing-masing mengkritik teori orang lain. liberalisme moden mengkritik liberalisme klasik. Sosialisme mengkritik kapitalisme. Wacana mereka tidak pernah selesai.

Semua teori kebebasan ini lahir daripada mimpi ngeri masyarakat Barat dalam fasa Dark Ages. Mereka dikongkong atas nama agama (Katholik). 

Mereka diseksa atas nama ketuhanan yang bersumberkan mimpi paderi mereka. Mereka dibakar hidup-hidup atas alasan mengkritik Kristian.

Kongkongan dan penindasan ini melahirkan kebangkitan Renaissance untuk membebaskan mereka daripada mimpi ngeri itu.

Inspirasi kebebasan ini hakikatnya tercetus daripada Falsafah Islam seperti karya karya Ibnu Rusyd yang menjadi silibus dunia Barat di Era Skolastik.

Mereka terinspirasi daripada pemikiran Islam untuk membebaskan diri. Namun, mereka tidak komited untuk berpegang dengan Falsafah Islam. 

Apabila mereka bebas, mereka mula berteori-teori selepas itu, membuat andaian, dan mereka-reka. Tidak lagi berpandukan Islam yang telah mencetuskan rangsangan berfikir mereka sebelum itu.

Hari ini kita lihat, mereka terus berteori, try and error. 

Sekularisme pada hari ini terbelit dengan pragmatisme. Prinsip dalam politik menjadi berselerak.

Sosialisme asalnya ingin bebas daripada penindasan, akhirnya menjadi penindas di zaman Soviet.

Liberalisme moden dan klasik masih belum selesai dialog. Masing-masing bakal mengadap paradox.

Humanisme akhirnya melahirkan masyarakat yang luar tabi’i. Katanya seseorang yang ingin bebas dari jantinanya.

Begitulah seterusnya. Ia bukan lagi teori kebebasan, tetapi melahirkan masyarakat yang liar.

Namun, ia masih dipercayai dan dipegang oleh manusia. Ada yang membina ideologi ini menjadi dasar parti mereka.

Ada yang berpegang untuk dirinya sendiri, untuk hidup cara Barat. Akhirnya golongan seperti ini hanya menemui kebingungan.

MUHAMMAD MUJAHID IR HAJI MOHAMMAD FADZIL
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak
PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 27/9/2023

- Advertisement -
- Advertisement -