ALOR SETAR: Seramai 228 orang melibatkan 69 keluarga di tiga daerah berisiko banjir dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) semalam.
Kesemua yang terlibat dipindahkan kira-kira jam 12 tengah malam, ekoran paras air di empat sungai di Kedah melepasi paras bahaya.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff , mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun, PPS Dewan Kampung Tradisi dan sebuah PPS di daerah Kota Setar.
“Kesemua mangsa berkenaan dari tujuh kampung berhampiran iaitu Kampung Nangmah, Kampung Paya Nongmi, Kampung Paya Lantau, Kampung Beru, Kampung Kubang Kayu dan Kampung Bendang Tok Leh di Mukim Temin,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Sementara menurut Muaz lagi, tiga kampung di Pendang turut dinaiki air melibatkan Kampung Batu Hampar Kanan, Kampung Belakang Pendang dan Kampung Banggol Kambing.
Sementara, di daerah Kuala Muda, empat kampung di dua mukim turut terjejas iaitu di Kampung Jerai dan Kampung Sungkap Para; manakala di Mukim Semeling melibatkan Kampung Masjid Haji Ngah dan Kampung Masjid.
Bagaimanapun katanya setakat ini, tiada PPS dibuka bagi penduduk yang terjejas di kedua-dua daerah berkenaan.
Semalam, hujan lebat melanda Kedah sejak awal pagi sehingga menyebabkan paras air di empat sungai iaitu Sungai Padang Terap di Kepala Batas mencatatkan 4.01 meter, Sungai Anak Bukit (1.91 meter), Sungai Pendang (2.8 meter) dan Sungai Laka (22.41 meter). – HARAKAHDAILY 27/9/2023