MALAYSIA mempunyai 836 Akta dan lebih 453 Enakmen yang telah diperuntukkan oleh pihak Kerajaan Negeri Perak. Namun, apa yang terjadi di Kolam Bukit Merah, Gunung Semanggol sehingga berlakunya pencerobohan menimbulkan keraguan dan kebimbangan yang sehingga kini tiada tindakan pihak kerajaan negeri.
Rizab kolam Bukit Merah merupakan kolam tadahan air yang memberi manfaat kepada kegunaan 250,000 pengguna daerah Kerian terdiri daripada kegunaan para pesawah, domestik dan industri.
Isu pencerobohan yang telah lama berlaku kini telah menjadi barah kerana tiada sebarang siasatan dan tindakan daripada pihak kerajaan. Kini, didakwa bahawa kolam bukit merah itu telah diluaskan dengan projek tambakan untuk diusahakan tanaman kelapa sawit.
Kesan jangka masa panjang kemungkinan akan berlaku khususnya melibatkan bekalan air di daerah Kerian akan terganggu apatah lagi kesannya kini telah berlaku menyebabkan penghasilan padi terjejas kerana kekurangan bekalan air.
Beberapa persoalan perlu dijawab oleh pihak kerajaan negeri:
1. Adakah pihak kerajaan hanya memejam mata mengenai pencerobohan yang telah berlaku ini?
2. Mohon penjelasan daripada pihak kerajaan mengenai status tanah yang diusahakan di Kolam Bukit Merah, adakah tanah itu tanah kerajaan atau telah bertukar kepada tanah persendirian?
3. Apakah tindakan segera dan mitigasi yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan bagi membendung sebarang pencerobohan berlaku khususnya di kawasan yang berisiko tinggi ini?
Saya menuntut kepada pihak kerajaan untuk menjawab segala persoalan ini demi kebaikan rakyat khususnya di daerah Kerian dan laksanakan siasatan dengan secepat mungkin. Fikirkanlah masa depan negara dan khazanah alam yang yang amat bernilai ini.
Cadangan saya agar pihak kerajaan juga seharusnya mewartakan kolam tadahan bukit merah itu sebagai kawasan perlindungan. Jangan sehingga berlaku masalah bekalan air baru celik mata untuk bertindak.
Bak kata pepatah, ‘Sudah terhantuk baru tengadah’.
Sekian.
YB HAJI RAZMAN ZAKARIA
Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak
ADUN Gunung Semanggol – HARAKAHDAILY 27/9/2023
Pencerobohan rizab kolam Bukit Merah
Projek tidak untungkan rakyat, bakal jejas bekalan air Kerian