RIYADH: Menteri Pelancongan Israel, Haim Katz tiba di Arab Saudi untuk lawatan awam peringkat tinggi yang pertama ke negara Islam itu di tengah-tengah rundingan untuk menormalisasikan hubungan dua hala.
“Haim Katz ialah menteri Israel pertama yang mengetuai delegasi rasmi di Arab Saudi,” kata kementeriannya dalam satu kenyataan, sambil menambah beliau akan menghadiri acara Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Riyadh, lapor New Arab.
“Dalam lawatan dua hari itu, Hatz akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya,” ujar kenyataan pejabat Katz yang di Riyadh pada Selasa (26 Sept).
Lawatan penting itu dibuat ketika Riyadh menghantar delegasi pertamanya ke Tebing Barat yang diduduki dalam tiga dekad.
Nayef al-Sudairi yang dilantik sebagai duta bukan pemastautin ke wilayah Palestin bulan lalu, mengadakan rundingan pada Selasa (26 Sept) dengan pegawai kanan Palestin termasuk presiden Mahmud Abbas.
Perjalanan diplomatik itu datang ketika Amerika Syarikat menekan dua sekutunya,. Israel dan Arab Saudi untuk menormalisasikan hubungan antara kedua-duanya.
Tindakan sedemikian dilihat bakal mematahkan pendirian Riyadh selama berdekad-dekad menentang pengiktirafan Israel sebelum ia menyelesaikan konflik dengan Palestin. – HARAKAHDAILY 27/9/2023