IPOH: Formula gabungan undi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan menghasilkan kemenangan adalah teori yang tidak realistik dengan arus kecenderungan rakyat terhadap politik ketika ini.
Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria berkata, kesedaran dan perubahan rakyat terutama orang Melayu jelas dilihat sebagai satu keyakinan yang menjadi gelombang sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).
“Di Terengganu (PH-BN) langsung tiada (tidak memenangi) kerusi DUN (pada PRN baru-baru ini). Kelantan tinggal dua (kerusi), Kedah tinggal tiga (kerusi). Di Perlis ada satu (kerusi) sahaja,” ujarnya.
Malah menurut beliau yang juga Ketua Pembangkang DUN Perak, di Pulau Pinang yang merupakan kubu DAP-PH, majoriti kerusi-kerusi Melayu turut dimenangi oleh PN hasil kesedaran tinggi umat Melayu kepada politik.
“Jadi, teori untuk menyatakan bahawa undi BN yang dulu dia menang campur dengan undi PH boleh memberi kemenangan, tak boleh nak pakai lagi,” ujarnya menggambarkan corak sokongan untuk PRN N.36 Pelangai.
Jelas beliau, gelombang sokongan rakyat kepada PN nampak begitu ketara yang mana di Pahang menyaksikan PN dan Umno masing-masing memiliki jumlah kerusi sama iaitu 17 DUN, namun mereka memilih bersama DAP-PH membentuk kerajaan.
Yakini beliau yang juga ADUN Gunung Semanggol, gelombang kebangkitan dan kesedaran tersebut masih berterusan sebagaimana dapat dilihat pada PRK P.161 Pulai dan N.13 Simpang Jeram baru-baru ini walaupun PN tidak memenanginya.
“Ini perubahan yang amat besar di kalangan Melayu di Johor, tempat bertapaknya Umno. Kita tengok sokongan kepada PH dah kurang 20 dan 14 peratus di dua lokasi PRK itu. Jadi di Pelangai itu ada lebih 72 peratus Melayu, kita harap lebih (sokongan) lagi (kepada PN),” luasnya.
Menurut beliau lagi, selama ini Umno-BN menjadi wadah perjuangan orang Melayu, tetapi apabila pimpinannya memilih untuk bersama DAP yang melakukan beberapa pencabulan berkaitan Melayu, maka orang Melayu beralih sokongan.
Hari ini katanya, isu-isu seumpama masih berlaku seperti menyentuh hal ehwal syariah, selain isu berkait pentadbiran negara dan kos sara hidup rakyat antaranya secara tiba-tiba beras tempatan tiada di pasaran. – HARAKAHDAILY 27/9/2023