SANDAKAN: Mangsa kebakaran yang melibatkan dua buah keluarga di Pulau Berhala dekat sini telah mendapat perhatian PAS Sandakan.
Rumah penduduk terbabit terbakar dipercayai akibat kejadian disambar petir pada kejadian Khamis lepas.
Rombongan PAS Sabah ke Pulau Berhala yang mengambil masa perjalanan selama kira-kira 20 minit menaiki bot laju dari bandar Sandakan itu diketuai Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Sahar Abdul Majid.
Turut hadir Ketua Penerangan PAS Sabah, Mustaman Mustain dan ahli-ahli jawatankuasa PAS Sandakan.
Sahar berkata, mangsa kebakaran terbabit diagih barangan dapur dan bantuan kewangan bagi meringankan bebanan mereka.
“Sumbangan berkenaan untuk meringankan beban mangsa yang terlibat kerana kehilangan rumah dan harta benda.
“Sumbangan tersebut juga sebagai tanda prihatin dan tanggungjawab sosial PAS Sabah terhadap kesusahan rakyat,” katanya.
Sahar yang juga Pengerusi Khidmat Malaysia Sabah berkata, pihaknya te;ah mengumpul dana daripada pelbagai bagi membantu rakyat yang ditimpa musibah.
Sementara itu, penerima sumbangan terbabit, Suidin Jidlani dan Mohd Khairul Adis melahirkan perasaan terharu di atas keprihatinan PAS Sandakan dan PAS Sabah membantu mereka. – HARAKAHDAILY 27/9/2023