KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa agar segera melantik Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bagi menghadapi isu kenaikan harga beras pada masa ini, yang dikhuatiri dimonopoli golongan kartel.
Penganalisis politik, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, jawatan tersebut telah dikosongkan begitu lama dan merupakan antara yang terpenting bagi menghadapi pelbagai krisis melibatkan kos sara hidup yang berlaku pada masa ini.
“Apa yang menimbulkan satu persoalan saya ialah mengapa tidak disegerakan pelantikan Menteri berkenaan kerana tidak cukup jika hanya melantik pemangku,” tegasnya kepada HarakahDaily.
Menurut beliau, kebanyakan rakyat marhaen telah terkesan daripada kenaikan harga beras yang berlaku lebih-lebih lagi apabila pengeluaran beras tempatan semakin berkurangan di negara ini.
“Malah, saya sendiri juga turut terkesan daripada kenaikan beras sekarang dan kita boleh kata beras banyak di pasaran tetapi hakikatnya itu merupakan beras import yang mana bukan semua orang mampu beli,” ujarnya.
Tambah beliau, Menteri sendiri atau pihak yang berkuasa perlu turun padang seperti pasar raya, pasar malam dan seumpamanya sebagai rakyat biasa bagi melihat keadaan sebenar supaya dapat mengenalpasti akar umbi masalah bekalan beras *tempatan dan ketidaktentuan harga barang semakin mahal* yang berlaku pada masa ini.
“Melalui langkah ini, Menteri boleh melihat sendiri apa yang berlaku dan jangan hanya mendengar maklumat daripada sumber maklumat daripada keliling beliau semata-mata supaya dapat menyediakan langkah-langkah sesuai bagi menangani isu sebegini,” katanya.
Tambah beliau lagi, golongan kartel turut bertanggungjawab menyumbang kepada masalah-masalah kenaikan harga beras yang berlaku pada masa ini.
“Ini kerana harga pasaran beras tertentu dan barangan asas dikuasai oleh golongan ini yang mana mereka boleh memilih untuk menaikkan atau menurunkan harga barang sesuka hati meskipun terdapat harga kawalan.
“Hal ini berlaku kerana pemantauan dan penguatkuasaan yang tidak tegas. Selagi monopoli kartel-kartel makanan ini tidak dipecahkan maka sesiapa pun menjadi kerajaan akan tetap menghadapi krisis-krisis makanan yang mereka timbulkan sampai bila-bila,” tegasnya.
Oleh sebab itu. Menurut beliau, iltizam politik sangat penting dalam memerangi golongan kartel ini bagi menyelesaikan masalah ini langkah demi langkah yang mana kerajaan mesti tunaikan satu daripada manifestonya sendiri iaitu memerangi mereka.
“Kerajaan diharap dapat melihat dan mengkaji semula cadangan-cadangan tersebut lebih-lebih lagi dalam menghadapi krisis makanan seperti beras pada masa ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/9/2023