Amaran Ten Hag lonjak prestasi Garnacho

Alejandro Garnacho bangkit menaruh kembali kepercayaan jurulatih, Erik Ten Hag apabila menjaringkan gol dalam kemenangan Piala Liga ke atas Crystal Palace. (FOTO: AFP)

MANCHESTER: Selepas diberi amaran oleh Erik ten Hag susulan prestasi persembahannya sebelum ini, Alejandro Garnacho bangkit menaruh kembali kepercayaan jurulatihnya itu apabila menjaringkan gol dalam kemenangan Piala Liga ke atas Crystal Palace.

Manchester United meredakan tekanan ke atas pengendalinya, Ten Hag dengan menewaskan Palace 3-0 pada pusingan ketiga Piala Liga di Old Trafford, selepas menang 1-0 ke atas Burnley dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Advertisement

Garnacho membuka jaringan untuk United dalam  babak pertama selepas mendapat hantaran daripada Diogo Dalot; yang menyaksikan Casemiro dan Anthony Martial turut menemui sasaran, lapor AFP.

Pemain berusia 19 tahun itu mengisi kesebelasan utama dalam dua perlawanan pertama United musim ini, tetapi hanya kembali ke posisi tersebut ketika menentang Palace pada Selasa (26 Sept).

“Anda dapat lihat pada awal musim perlawnanan, sumbangannya (Alejandro Garnacho) tidak cukup bagus. Dia perlu belajar memainkan peranannya dalam pertahanan, dia akan mempunyai peluang ketika menyerang.

“Ia bukan sahaja berkenaan ketika bola tidak berada di kaki. Namun, saya mahu lihat seperti hari ini, dia memasuki kotak di posisi yang tepat untuk menjaringkan gol.

“Semua orang sukakannya, peminat, pasukan menyukainya, saya juga menyukainya tetapi kami mahukan lebih daripadanya dan melonjakkan dirinya ke tahap lebih tinggi,” ulas Ten Hag.

Sementara itu, Ten Hag turut kagum dengan prestasi pemain Maghribi, Sofyan Amrabat yang mengisi posisi bek kira pada permulaan sulungnya untuk kelab, dan kemudian kembali ke posisi kegemarannya di bahagian tengah selepas rehat. – HARAKAHDAILY 27/9/2023