KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa membuat keputusan yang drastik agar mengurangkan kebergantungan terhadap pengimportan keperluan asas daripada negara luar; dan memastikan produk pengeluaran negara seperti ikan, beras, tepung gandum, gula dan keperluan asas yang lain cukup untuk kegunaan rakyat negara sebelum mengambil keputusan untuk dieksport ke luar negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu berkata demikian ketika mengulas mengenai polemik kenaikan harga barangan, terutama barang keperluan harian kebelakangan ini, yang memberi kesan kepada rakyat.
“Sememangnya kita dan semua rakyat mengakui menerima hakikat suasana ekonomi global yang tidak menentu dan sudah semestinya ia turut melibatkan negara kita Malaysia.
“Kesan daripada perkara tersebut, menjadikan rakyat banyak mengeluh dan terbeban kerana kos untuk menguruskan kehidupan seharian semakin meningkat disebabkan oleh harga barang yang tidak dapat dikawal ataupun berada di luar kemampuan yang biasanya boleh dimiliki dan dikawal oleh golongan marhaen,” jelas beliau.
Selain daripada itu, ujarnya, beban untuk menguruskan keluarga terutama mereka yang mempunyai tanggungan keluarga yang lebih besar semestinya turut terbeban dengan suasana yang ada pada hari ini.
“Maka, pihak yang berwajib iaitu pihak kerajaan yang mentadbir negara pada masa ini perlu melihat dan menilai semula semua kegiatan aktiviti ekonomi negara khasnya yang melibatkan kepada lonjakan harga barangan keperluan harian di mana penyebab kepada kenaikan harga barangan tersebut.
“Kerajaan perlu mengesan punca kepada kenaikan harga barangan tersebut dan pengesanan ini perlu dibuat secara menyeluruh. Ianya tidak boleh ‘main spot-spot’ atau ‘main pilih-pilih’ sahaja,” tegas Andasura.
Beliau memberi contoh, seperti harga ayam mentah yang dijual di pasaran pada masa ini agak mahal berbanding dengan harga sebelum ini.
“Sudah semestinya harga ayam ini dikaitkan dengan makanan ayam iatu dedak ayam yang diimport dari luar negara.
“Namuni, punca sebenar adalah kerana kita tidak memberikan fokus atau peluang untuk mengatasi kepada kebergantungan kita kepada sumber-sumber daripada luar,” jelasnya kepada HarakahDaily.
Sehubungan itu, beliau turut memberitahu bahawa Malaysia sebenarnya mempunyai keupayaan untuk mengeluarkan sumber makanan sendiri (agrofood) kerana Malaysia memiliki tanahair yang subur dan luas.
Namun begitu, katanya lagi, dilihat pada masa sekarang negara kita tidak memberi fokus kepada perkara tersebut.
“Jadi, kesilapan dan kelemahan yang telah berlaku puluhan tahun dahulu menyebabkan apabila kita bergerak kepada perindustrian, negara kita telah melupakan fokus kepada ‘food security’.
“Inilah sebabnya kenapa Malaysia perlu kurangkan kebergantungankepada produk import; dan sekat daripada import produk kita seperti ikan, beras, tepung gandum, gula dan keperluan asas yang lain selagi ia tidak cukup untuk bekalan kegunaan rakyat negara ini.
“Kita bimbang apa yang berlaku pada waktu ini, iaitu harga minyak kelapa sawit. Dahulunya, Malaysia merupakan sebuah pengeluar minyak sawit dan pengeksport ke luar negara setelah memenuhi keperluan rakyat,” tegasnya lagi.
Namun begitu, pada masa kini, kata Andasura, beras dan padi sememangnya tidak boleh di bawa keluar seratus peratus ke luar negara kerana bekalannya tidak mencukupi untuk menampung keperluan rakyat di Malaysia.
“Justeru itu perlu ada inisiatif yang perlu dilakukan oleh kerajaan, khususnya untuk membantu golongan miskin tegar atau B40.
“Sebagai contoh, agenda yang dilaksanakan oleh pihak Lembaga Zakat Negeri Kedah yang melibatkan mereka dalam usaha-usaha pengeluaran makanan atau sumber utama.
“Oleh itu, inisiatif yang sama turut dilaksanakan kepada rakyat di seluruh negeri di negara ini untuk membantu mengurangkan bebanan kerajaan dan juga membantu mengurangkan kebergantungan kepada pengimportan dari luar negara,” hujah beliau.
Penglibatan Industri makanan pengeluaran keterjaminan pula ujarnya, perlu diberikan inisiatif besar kepada golongan B40 untuk sama-sama mengeluarkan sumber makanan dan keperluan keluarga serta masyarakat setempat itu dengan lebih luas dan lebih besar.
“Mereka bukan sahaja menerima bantuan one-off dalam jangka masa pendek. Bagi jangka masa panjang, dicadangkan agar golongan B40 ini dapat melibatkan diri dengan keperluan pekerjaan yang dapat meningkatkan ekonomi keluarga mereka.
“Contohnya, jikalau dahulu golongan ini kebanyakannya bergantung kepada satu kerja hakiki atau kerja kampung semata-mata.
“Namun begitu, satu perubahan perlu dilakukan oleh pihak kerajaan terhadap golongan ini iaitu mereka boleh diberikan pelbagai asas kemahiran agar mereka dapat memperkembangkan lagi kemahiran yang dimiliki. Secara tidak langsung, mereka dapat meningkatkan pendapatan bulanan mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/9/2023