Produk India ancam industri songket Terengganu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kemasukan produk tenunan dari negara lain, terutama India memberi kesan buruk kepada produk tempatan termasuk songket Terengganu.

Senator Hussin Ismail berkata, kemasukan produk luar boleh melenyapkan industri tenunan tempatan yang diwarisi sejak zaman berzaman.

- Advertisement -

Sehubungan itu, katanya kerajaan perlu mengawal kemasukan produk negara luar dan pada masa sama, memberi galakan kepada pengusaha songket tempatan.

“Satu bentuk warisan yang saya lihat sedang menjunam…bernilai tinggi tetapi kedudukannya sangat kritikal iaitu tenunan.

“Terengganu sangat tersohor dengan tenunan songket. Hari ini akibat ancaman produk tenunan dari India, perusahaan tenunan di Terengganu sangat malap. Mohon pandangan Yang Berhormat Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah ucapan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan pada sesi penggulungan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Negara, hari ini.

Khairul Firdaus turut mengakui bahawa tenunan asli Terengganu mendapat saingan kuat negara lain.

“Nampaknya ada gangguan negara lain yang bukan hanya menciplak, tapi menjurus ke arah menyaingi produk tempatan.

“Kementerian sedar perkara ini dan melalui Jabatan Warisan Negara sentiasa cuba bekerjasama dengan pihak kraftangan supaya industri ini bukan sahaja sentiasa dipelihara, malah dikembangkan kepada generasi muda.

Katanya, kementerian akan memberi makluman lebih lanjut mengenai gerak kerja dan perancangan terhadap isu ini secara bertulis. – HARAKAHDAILY 26/9/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!