PRK Pelangai: ‘Gelombang rakyat’ dijangka lebih besar

Hamdan Abdullah
- Advertisement -

BENTONG: Semua jentera PERIKATAN NASIONAL digesa bekerja keras untuk menggagalkan usaha BN-PH yang mahu menyekat kemaraan ‘gelombang rakyat’ pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

- Advertisement -

Menurut Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri Pahang, Hamdan Abdullah, jentera PERIKATAN NASIONAL akan terus mewujudkan gelombang yang lebih besar pada kali ini.

“Kita bertekad untuk meneruskan gelombang yang telah berkembang, yang sedang berkembang di PRN enam negeri dan juga di dua PRK Johor dan juga kali ini kita tetap teruskan gelombang ini di Pelangai.

“Dan kita tidak akan benarkan gelombang ini dinoktahkan di sini. Dan saya fikir kita perlu memberi isyarat kepada MB Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy bahawa beliau akan gagal menoktahkan gelombang rakyat di Pelangai ini, insya-Allah,” ujar beliau kepada Harakahdaily.

Malah, jelasnya, jentera PERIKATAN NASIONAL akan terus berjuang untuk membangkitkan gelombang kebangkitan rakyat sehingga berhasil membina satu masyarakat yang adil kepada semua, yang menjadi matlamat perjuangan parti gabungan itu.

“Dan insya-Allah kita teruskan perjuangan ini untuk memberikan nilai tambah yang lebih baik kepada masyarakat,” ujarnya.

Tambah beliau, tindakan Umno-BN yang menjalinkan kerjasama dengan PH-DAP bagi membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu setelah gagal mendapat majoriti telah menimbulkan kemarahan orang Melayu-Islam di Pahang termasuk warga DUN Pelangai ini.

“Bukan sahaja daripada kalangan orang-orang yang tidak berparti, bahkan ia juga menjadi kejengkelan kepada ahli-ahli Umno sendiri yang menolak gabungan ini.

“Kami tidak tahu apa kewajarannya Datuk Seri Wan Rosdy mengambil DAP sebagai rakan kongsi untuk membentuk kerajaan dan mentadbir negeri Pahang ini sedangkan (Adun) Melayu Islam ada bilangan yang cukup untuk mendapat dua pertiga majoriti dalam dewan negeri di Pahang ini,” ujarnya.

PRK DUN Pelangai menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon PERIKATAN NASIONAL, Cikgu Kasim Samat yang merupakan seorang tokoh pendidik menentang calon BN, Datuk Amizar Abu Adam dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula 23 September hingga 11.59 malam 6 Oktober dengan pengundian awal 3 Oktober sementara hari mengundi 7 Oktober.

PRK itu diadakan selepas kerusi itu diisytiharkan kosong susulan penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam, 17 Ogos lalu.

Pada PRU15 lalu, Johari mendapat 7,308 undi, Kasim Samat (3,260 undi), Ahmed Wafiuddin Shamsuri (PH – 2,031) dan Isa Ahmad (PEJUANG – 65) – HARAKAHDAILY 26/9/2023

- Advertisement -