Petisyen Parlimen Kemaman: Pemimpin akan buat keputusan

Ustaz Che Alias Hamid

KUALA TERENGGANU: Ustaz Che Alias Hamid menyerahkan kepada pemimpin PAS untuk membuat keputusan berhubung pembatalan kemenangan beliau di Parlimen Kemaman pada pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.

Advertisement

“Pemimpin akan buat keputusan. Kalau nak rayu dalam tempoh 14 hari ini, kita buat rayuan, itu bergantung kepada keputusan kepimpinan PAS sendiri.

“Kalau kepimpinan kata buat rayuan, buat, kalau tak… apa-apa keputusan sahaja kita akan terima,” ujarnya kepada media di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu, di sini hari ini.

Ini susulan Mahkamah Pilihan Raya di Kuala Terengganu telah membenarkan Petisyen Pilihan Raya P.040 Kemaman dengan kos sebanyak RM30,000.

Hakim Pilihan Raya Datuk Anselm Charles Fernandis memutuskan sedemikian dan selanjutnya mengisytiharkan bahawa Che Alias telah dilapor pilih secara tidak sah sebagai Ahli Parlimen bagi Bahagian Pilihan Raya P.040 Kemaman pada 19 November 2022 lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu, beliau memenangi kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi apabila memperolehi 65,714 undi.

Tiga calon lagi ialah Dato’ Seri Ahmad Said (BN-Umno) yang mendapat 38,535 undi, Hasuni Sudin (PH-PKR – 8,340) dan Rosli Ab Ghani (Pejuang – 506). – HARAKAHDAILY 26/9/2023