SEORANG chef tidak selayaknya diundang menjadi panel bicara mengenai pembedahan vaskular. Begitu juga, seorang pegawai pemasaran tiada kewajaran menjadi penasihat kepada atlet pelumba basikal trek berkenaan strategi kayuhannya. Samalah juga dalam perkara ini dengan seseorang tidak mempunyai asas dalam pengajian tafsir al-Quran, lebih-lebih lagi pula tidak beriman dan bukan ahli syahadah, tidak wajar untuk dia membuat tafsiran ayat al-Quran atau berhujah dengan menggunakan ayat al-Quran.
Sebagai orang bukan-Islam, sangat dialukan untuk membaca al-Quran dan mendalami isi al-Quran. Dia boleh berbahas dan berbincang dalam sesi yang tertutup untuk tujuan pembelajaran. Bukan dalam sesi yang terbuka kerana ia mengundang fitnah terhadap agama itu sendiri. Mentafsirkan ayat-ayat suci al-Quran memerlukan kepada disiplin ilmu yang khusus bagi menjamin kesahihan tafsiran dan mengelakkan salah faham. Tanpa kelayakan tertentu dalam bidang agama, tafsiran yang dibuat nanti akan membawa keburukan yang lebih banyak dari kebaikan.
Dalam kes Howard Lee, beliau membaca separuh sahaja terjemahan ayat al-Quran (Surah al-Nisa: 59) dan meninggalkan separuh ayat untuk disesuaikan dengan kepentingan politik partinya. Memang Allah menyuruh ketaatan kepada pemerintah tetapi ayat itu hendaklah dibaca hingga habis iaitu Allah mengarahkan supaya sebarang perbezaan pendapat dengan pemerintah (Ulil Amri) hendaklah dirujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah. Ia tidak boleh dibaca dengan ayat itu sahaja, tetapi perlu dikaitkan tafsirannya dengan ayat-ayat al-Quran dan Hadis yang lain. Tafsiran Howard Lee itu adalah tafsiran yang mengikut selera sendiri atas kepentingan peribadinya dan parti politiknya.
Beliau menggunakan tafsiran ayat 59 itu sebagai asas untuk melontarkan gelaran ‘Khawarij’ dengan mudah kepada mereka yang tidak menyokong kerajaan. Ini adalah pandangan yang keterlaluan kerana sistem demokrasi menggunakan konsep Raja Berperlembagaan membenarkan kewujudan pembangkang. Asakan politik dibenarkan tetapi bukan sehingga berbohong, menipu dan mengeksploitasi agama.
Selain itu, perbuatan memperlekehkan ulamak yang mendalami bidang Siyasah Syariyyah yang berkelulusan Universiti Islam Madinah dan Universiti Al Azhar serta jauh lebih berumur dan berilmu dari beliau; adalah tindakan yang membodohkan dirinya sendiri.
Menjadi ahli politik bukanlah lesen untuk bercakap semua perkara khasnya dalam aspek hukum dan tafsiran al-Quran dan Hadis.
Apatah lagi menggunakan bahasa yang celupar kepada orang lain. Ini termasuklah orang Islam yang berlagak lebih bijak dari alim ulamak dan cuba mengajar orang Islam mengenai agama mereka sendiri, sedangkan mereka bukan berkeahlian dalam bidangnya. Perbuatannya yang tidak menghormati sensitiviti orang Islam, amat dikesalkan malahan berisiko membangkitkan perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.
Rakyat menanti keputusan siasatan polis ke atas Howard Lee di bawah 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Inilah sebenar-benar isu 3R yang sepatutnya dikekang tangani.
YB USTAZ NUSHI DATO’ MAHFODZ
Ketua Penerangan
PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 26/9/2023