
KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PERIKATAN NASIONAL (PN), Ahmad Fadhli Shaari selesai memberi keterangan kepada pihak polis berhubung Himpunan Selamatkan Malaysia pada 16 September lalu setelah beliau sekali lagi dipanggil memberi keterangan di Balai Polis Dang Wangi, di sini, jam 11 pagi tadi.
Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, beliau dipanggil untuk memberikan keterangan selaku penganjur meskipun beliau bersama beberapa pimpinan yang lain tidak turun bersama dalam himpunan tersebut atas faktor keselamatan.
“Walaupun demikian (tidak sertai perhimpunan), saya tetap dipanggil untuk memberikan keterangan berhubung isu ini dan saya memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis. Jadi terpulang kepada pihak polis menentukan tindakan yang selanjutnya.”
“Polis telah menjalankan tugas mereka dengan baik dan profesional, saya kira mereka hanya menjalankan tugas mereka apabila laporan polis dibuat.”
“Saya telah memberi kerjasama dan telefon bimbit saya juga telah diambil oleh pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui HarakahDaily.
Sementara itu, Fadhli turut menyifatkan kekerapan laporan polis dibuat kebelakangan ini melambangkan ketakutan kerajaan hari ini terhadap gelombang rakyat.
“Saya ingin menyatakan bahawa ini merupakan satu lambang ketakutan kerajaan terhadap gerakan rakyat, apabila laporan polis demi laporan polis dibuat seolah-olah ingin menekan kami.”
“Laporan yang dibuat ke atas kami di pihak pembangkan ini seolah-olah apa yang kami buat ini adalah satu perkara yang sangat berbahaya kepada keselamatan negara, sedangkan apa yang kita buat ini adalah berlandaskan perlembagaan negara dan hak-hak untuk berkumpul secara aman,” jelas beliau.
Sementara itu, Fadhli turut memaklumkan untuk setakat ini, tiada maklumat lanjut bagi himpunan seterusnya namun sekiranya terdapat himpunan atau gerakan khususnya menentang isu mengenai keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Zahid, pemuda PN akan menyokong penuh terhadap perkara tersebut.
Dalam pada itu, mengulas tentang isu parlimen Kemaman, Fadhli berkata PN menyambut baik keputusan mahkamah membatalkan kemenangan PAS namun akan kekal bersedia jika Pilihanraya Kecil tidak dapat dielakkan.
“Kita menyambut baik dan menghormati keputusan mahkamah, namun demikian kita juga ingin mengatakan bahawa apa yang akan berlaku selepas daripada ini pun kita dapat jangka.”
“Kemaman pun kita tahu kawasan tersebut dimenangi oleh PAS, jadi saya fikir bahawa perlu (wujudkan) satu mekanisme lain untuk difikirkan bagi mengelakkan pembaziran duit rakyat bagi (menampung kos) mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK).”
“Walau yang demikian, PRK ini saya yakin jika mahkamah telah buat keputusan dan (jika) parti membuat keputusan untuk tidak merayu, kita akan lawan habis-habisan dan memastikan calon Barisan Nasional akan kalah dengan majoriti yang lebih besar,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/9/2023