KUALA LUMPUR: Senator Hussin Ismail mencadangkan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) atau Jabatan Pembangunan Koperasi supaya menyediakan kemudahan pinjaman mudah kepada koperasi, terutama yang baru ditubuhkan.
Menurutnya, ini berikutan koperasi baharu memang sangat memerlukan dana walaupun kerajaan ada menyediakan kemudahan geran.
Secara umum dalam operasi koperasi, katanya yuran pendaftaran ahli baru ialah RM10, saham minimum pula RM100 dan jika ada 50 orang ahli, jumlah dana yang dikumpulkan hanya RM5,500.
“Sebab itu, saya mencadangkan supaya Jabatan Pembangunan Koperasi atau SKM menambahkan ruang untuk pinjaman mudah kepada koperasi terutama yang baru ditubuh untuk melonjakkan gerakan koperasi.
“Koperasi baharu tidak ada track record (rekod prestasi) yang baik dan banyak untuk dijadikan dokongan bagi mendapatkan pinjaman bank dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mencelah ucapan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Saraswathy Kandasamy pada sesi penggulungan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Negara, hari ini.
Saraswathy ketika menjawab memberitahu bahawa bantuan dana kepada koperasi yang mempunyai modal rendah hanya diberikan kepada koperasi yang beroperasi sekurang-kurang 18 bulan sebelum SKM dapat mempertimbangkan prestasi koperasi itu.
Katanya, tempoh 18 bulan adalah untuk menilai prestasi koperasi itu sebelum bantuan modal pusingan atau bantuan infrastruktur dapat dipertimbangkan.
“SKM perlu yakin sebelum menghulurkan sebarang jenis bantuan, iaitu mempunyai keyakinan bahawa koperasi itu akan kekal sebagai gerakan koperasi,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/9/2023