HARI INI 26 September 2023, genaplah 10 tahun Tan Sri Dato’ Seri Diraja Ustaz Azizan Abdul Razak pergi mengadap Ilahi. Terlalu banyak kisah Almarhum ‘tersembunyi’ rapat dalam simpanan memori dan nostalgia kalangan mereka yang bersamanya.
Semua itu lantaran desakan beliau sendiri tidak mahu cerita berkenaan dinukilkan, namun kini kisah tersebut adalah sejarah yang umpama sebutir anak benih menumbuhkan tujuh tangkai dan setiap tangkai itu pula menghasilkan tujuh butir.
Ikuti kisah Almarhum Ustaz Azizan yang dipetik daripada sahabat karibnya, Almarhum Dato’ Muhamad Yusof Husin atau lebih mesra dipanggil Pak Chop. Kisah ini diceritakan Pak Chop beberapa bulan sebelum beliau kembali ke rahmatullah pada 18 Oktober 2022.
Transisi Pesuruhjaya
Menurut Pak Chop, jawatan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah telah diserahkan daripada Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Noor kepada Ustaz Azizan kerana Ustaz Fadzil perlu banyak memberi tumpuan kepada PAS Pusat di mana Almarhum juga ketika itu adalah Presiden PAS.
Namun demikian katanya, Ustaz Fadzil biarpun sibuk di Pusat, beliau tidak pernah meninggalkan usrah bulanan dan Mesyuarat Badan Perhubungan PAS Kedah yang dihadirinya atas kapasiti sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Kedah.
Malah beritahunya, Almarhum Ustaz Fadzil akan hadir ke Mesyuarat Harian PAS Kedah seandainya ketika itu beliau pulang ke negeri, pun begitu segala urusan tetap diletakkan kepercayaan penuh kepada Ustaz Azizan untuk mengendalikannya.
Walaupun sangat sibuk di Pusat termasuk ke peringkat antarabangsa dan jarang berada di Kedah, tetapi Ustaz Fadzil maklum Pak Chop, banyak berusaha mendapatkan sumbangan infaq dan derma bagi gerak kerja, pembangunan dan pengurusan PAS Kedah.
Ustaz Azizan pula beritahu beliau, sememangnya sudah banyak bergelumang di Kedah dan amat rapat dengan ramai pimpinan utama PAS Kedah masa itu antaranya Ustaz Azahari Abdul Razak, Tuan Guru Yahya Junid, Ustaz Suhaimi Ahmad selain Ustaz Fadzil sendiri.
Semua mereka cerita Pak Chop, sering berada di Pejabat PAS Kedah di Jalan Kota, Alor Setar sehingga 24 jam sehari termasuk juga tidur di situ berbual, berbincang dan bermesyuarat pelbagai perancangan serta pengurusan parti.
“Jadi dia (Ustaz Azizan) ini bila dia buat sesuatu dia bersungguh sampai kita naik letihlah, letih! Tapi letih pun kita berasa seronok, pasai kita nampak matlamat dia itu ada wawasan, ada kesungguhan, dia ada keinginan.
“Bagi saya seolah-olah dia nampak penghidupan PAS masa akan datang. Dia nampak, lalu dia berusaha untuk buat persiapan menghadapi masa akan datang,” ujar Pak Chop penuh semangat walaupun kelopak matanya berair.
Ketika itu, Pak Chop ‘bermastautin’ dan menginap di pejabat Jalan Kota tersebut menghabiskan waktu lebih banyak dari kediamannya di Kampung Memali, Baling dalam menjalankan tugasnya sebagai Setiausaha Jabatan Pilihan Raya (JPN) PAS Negeri Kedah.
Ustaz Azizan menurut Pak Chop, sememangnya seorang yang sentiasa merancang jauh ke hadapan dan penuh kesungguhan di mana antara usahanya adalah membeli tanah 97 relong di Pokok Sena iaitu berdirinya Kompleks Muassasah Darul Ulum hari ini.
Maklumnya, Almarhum pada waktu tersebut, mendapatkan sumbangan dari pelbagai pihak terutama PAS Negeri Terengganu untuk pembelian tanah di situ termasuk meminjam daripada Harakah, selain membeli tanah sawah seluas 100 relong di Yan.
Jelas Pak Chop, hasil daripada sawah itu membolehkan pendapatan RM50,000 semusim atau RM100,000 setahun yang dimanfaatkan bagi gaji guru dan kakitangan di Sekolah Rendah dan Menengah serta Kolej Islam Darul Ulum, Pokok Sena.
Kompleks PAS Kedah
Almarhum adalah pencetus, pencadang dan pengendali utama kepada perpindahan dan pembinaan Kompleks PAS Kedah di Batu 9 Kota Sarang Semut atau Km.13 Jalan Alor Setar-Sungai Petani yang tersergam megah lagi indah ketika ini.
Cerita Pak Chop, kepimpinan PAS Kedah diterajui Ustaz Azizan di masa itu amat menyedari bahawa operasi di bangunan tiga tingkat Jalan Kota dirasakan semakin sempit dan sukar mendapat ruang meletakkan kenderaan.
Ia berikutan suasana di kawasan Bandar Raya Alor Setar semakin sibuk dan sesak hingga menjadi kesukaran kepada ahli-ahli dan pimpinan PAS untuk hadir ke situ terutama bagi mengadakan Mesyuarat Perhubungan dan sebagainya.
Menurut beliau, Almarhum Ustaz Suhaimi Ahmad selaku Setiausaha PAS Kedah ketika itu ada mencadangkan satu kawasan di Jalan Pegawai berhampiran bangunan Persatuan Guru dan Maktab Mahmud yang hendak dijual.
Namun, kawasan tersebut juga masih di dalam bandar dan tidak seluas diharapkan iaitu kurang seekar hinggalah Ustaz Azizan semasa dalam perjalanan ke rumah di Guar Chempedak singgah di satu kedai makan nasi Arab di Batu 9.
Almarhum dikhabarkan mengenai tanah bendang yang hendak dijual oleh Haji Rafaie Pendang seluas sekitar 4 ekar di situ dan Ustaz Azizan setelah itu mengajukan pandangannya untuk membeli tanah tersebut termasuk kepada Pak Chop.
“Tanah bendang nak buat apa ustaz? Kita nak tambun itu kos banyak,” bantah Pak Chop.
“Hang tak tahu, tanah ini kita kena buat Kompleks PAS. Sebab himpunan kita bukannya 20,000 ke 30,000 ke masa akan datang, (nanti) ratus ribu. Ini kita kena cari tempat yang macam ini,” balas Ustaz Azizan.
Beritahu Pak Chop, dalam hasrat dan rancangan Ustaz Azizan, bukan sahaja tanah Haji Rafaie Pendang itu perlu dibeli, bahkan tanah sebelah menyebelah itu juga nanti perlu dibeli untuk perjuangan PAS pada masa akan datang.
“PAS masa depan itu bukan masa la ni. La ni kita tak apalah orang tak pandang. Tapi masa depan itu? Aku nak cadang dekat Ustaz Fadzil,” kata Ustaz Azizan kepada Pak Chop yang dikatakan menjadi permulaan cadangan itu untuk dibawa ke pengetahuan Ustaz Fadzil.
Cerita Pak Chop, hasil rundingan demi rundingan termasuk pertemuan beberapa wakil Badan Perhubungan PAS Kedah dengan Haji Rafaie, akhirnya itulah diringkas cerita, maka tanah sawah itu pun dibeli.
“Ustaz Azizan dulu ini, dia kalau kata kita sebut KOMPAS dia marah. Dia kena sebut Kompleks PAS itu penuh. Jangan sebut KOMPAS dia kata, KOMPAS serupa Indonesia bunyi. Dia tak suka. Dia kena sebut Kompleks PAS penuh,” tambah Pak Chop.
Guna duit sendiri
Menurut beliau, tanah tersebut dibeli setelah mendapat persetujuan Badan Perhubungan PAS Kedah semasa mesyuarat di Langkawi yang mana ketika keputusan dibuat, Ustaz Azizan keluar untuk memberi ruang ahli mesyuarat memutuskannya.
Tetapi kata Pak Chop, PAS Kedah sendiri ketika itu sebenarnya tiada wang bagi pembelian tersebut tetapi sebahagian sumbangan pembelian adalah dari wang Ustaz Azizan sendiri yang membeli sebahagian tanah tersebut.
Bagaimanapun katanya, Ustaz Azizan juga setahu beliau tidak mempunyai wang, namun beliau percaya pemimpin itu membuat pinjaman peribadi bagi membolehkan tanah tersebut dibeli, sekali gus menjayakan cita-cita tersebut.
“Tak apalah aku beli, pasal aku nak di hujung hidup aku, aku tak mahu berenggang dengan PAS, aku nak duduk situ. Aku nak tengok perkembangan PAS di situ. Aku nak duduk di situ,” kata Ustaz Azizan yang jasadnya bersemadi Kompleks Muassasah Darul Ulum.
Pun begitu kata Pak Chop, urusan pembelian itu bukan semudah disangka kerana Haji Rafaie meninggal dunia ketika urusan masih dibuat yang menyebabkan banyak kerenah perlu diselesaikan, tetapi kesungguhan Ustaz Azizan membolehkan semuanya dapat diatasi.
Setelah siap fasa awal pembinaan Kompleks PAS Kedah itu beritahu Pak Chop, Almarhum masih seperti selalu banyak menghabiskan masa di Kompleks dan tidur di situ, tetapi beliau mahu ada yang menemaninya.
Oleh itu, Pak Chop sendirilah yang ketika itu sudah dilantik sebagai Setiausaha PAS Kedah tidur di bilik bersebelahan bilik Pesuruhjaya dan mereka saling kejut membangunkan Subuh secara bergilir siapa dahulu terjaga.
Muktamar PAS Pusat
Muktamar Tahunan PAS Pusat pada tahun 2006 telah dicadang diadakan di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut walaupun pembinaan fizikal ketika itu belum pun siap sepenuhnya, tetapi Ustaz Azizan memberi komitmen menyiapkannya.
Almarhum sendiri meletakkan fokus untuk menzahirkan Kompleks itu kata Pak Chop hinggakan semua Ahli Jawatankuasa Perhubungan terutama anggota Harian memberi komitmen dan penglibatan secara langsung.
“Masa itu kompleks tak siap. Kompleks baru 30 peratus siap masa keputusan itu dibuat. Jadi macam mana nak rush bagi siap itu macam-macam ceritalah. Kerja siang malam. Saya ingat lagi orang Vietnam ini dia kerja 24 jam. Dia pakai shift. Yang tukang masak pun, eh saya peliklah dia boleh buat kerja 24 jam.
“Sebab saya tidur situ saya tahulah. Dia mampu, mampu siap. Saya sendiri pada ketika itu tak ada keyakinan kata boleh siap sebelum Muktamar itu, pasal terlalu banyak kerja yang perlu diselesaikan. Alhamdulillah dapat siap seperti yang dirancangkan.
“Jadi, watak utama peranan yang bersungguh-sungguh ini adalah Ustaz Azizanlah. Sampai banyaklah orang marah, banyak orang yang kecik hati, banyak yang terasa dengan sikapnya yang bersungguh-sungguh itu.
“Dia garanglah, dia cengey, dia macam itu, dia jadi ketua, begitulah. Tapi akhirnya berjaya,” cerita Pak Chop dalam keadaan penuh teruja gembira walaupun penglihatannya kabur.
Satu kisah lucu, semasa PAS Pusat termasuk Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hadir ke tapak kompleks bagi cadangan mengadakan muktamar tersebut, Ustaz Azizan baru sahaja menjalani pembedahan jantung.
Almarhum ketika itu kehilangan suara, menyebabkan beliau tidak dapat memberi penerangan lalu mendesak Pak Chop memperihalkan mengenai gerak kerja yang telah, sedang dan akan dijalankan di tapak itu.
Di kesempatan itu Pak Chop turut menunjukkan kepada ahli rombongan dua pokok kelapa yang ditanam oleh Almarhum Ustaz Fadzil Nor di mana hidup subur, tetapi pokok ditanam Ustaz Azizan dikatakannya tidak menjadi kerana Ustaz Azizan ‘cengey’.
Usikan tersebut menyebabkan rombongan ketawa, namun Ustaz Azizan tidak dapat membalas usikan Pak Chop itu atau mempertahankan dirinya kerana tidak dapat bersuara.
Projek khas daftar pemilih
Menurut Pak Chop, antara inisiatif digiatkan bersungguh-sungguh oleh Ustaz Azizan adalah projek khas daftar pemilih yang dikerahkan Almarhum kepada beliau selaku Pengarah Pilihan Raya dan Setiausaha Perhubungan.
Beritahunya, setiap DUN diberikan imbuhan RM2 bagi setiap pemilih baharu yang didaftarkan dan kempen itu berjalan sangat menggalakkan termasuk menjadi perkara wajib dilaporkan oleh setiap PAS Kawasan semasa Mesyuarat Perhubungan.
“Mana DUN yang agak slow pendaftaran ditegur dalam Mesyuarat Perhubungan oleh Ustaz Azizan sendiri. Jadi, projek itu memang berjaya. Bila kita buat analisa semasa pilihan raya, kita naik terkejut, kita boleh menang 15 DUN.
“Bila kita buat analisa, kita buat daripada culaan undi yang kita dapat itu, kita dapat macam itu. Analisa itu kita buat bersama dengan DUN. Tiap-tiap DUN kita turun buat semua. Boleh dapat 15 DUN,” maklum beliau.
Namun kata Pak Chop, keputusan diperolehi pada PRU12 tahun 2008 itu lebih mengejutkan apabila PAS menang 16 kerusi DUN, termasuk culaan atau analisis tepat juga berjaya diberikan pada PRK DUN Bukit Selambau setelah itu.
“Jadi masa kita pindah (tahun 2006 ke Batu 9) itu, kita tak ada dalam kepala kita (akan) menang (2008). Tapi yang kita menang ini selepas analisa itu, kita buat masa pilihan raya (PRU12). Kita nampak. Itu pun Allahyarham Ustaz Azizan tak yakin, tak yakin lagi.
Dia kata, ‘Hang ini buat analisa macam Cikgu Pa (Almarhum Cikgu Mustafa Long – bekas Setiausaha PAS Kedah dan Pengarah Pilihan Raya PAS Kedah) ini. (Keputusan) tak pernah kalah, menang saja’,” ujar Pak Chop mengenang bidasan keras Ustaz Azizan kepadanya.
Bagaimanapun dedah Pak Chop, analisis atas kertas untuk PRU13 tahun 2013 menunjukkan PAS akan kalah iaitu hanya mampu mencapai kemenangan maksimum hanya di 13 DUN ketika itu.
“Memang tak boleh pi dah, sebab itu semua tahulah pasal berlaku krisis yang teruk dalam PAS Kedah ini pada ketika itu memang kita tak boleh, tak mampu pertahankan kemenangan.
“Kita tahu dah (akan kalah). Tapi tak habaq di bawah (ahli-ahli) ini kata kita kalah, kalau habaq di bawah awal lagi kalah, habis pakatlah,” ujarnya di mana pada PRU12 tersebut PAS hanya menang 9 kerusi DUN.
Imbau nostalgia
Dikisahkan Pak Chop, setelah menang dan dilantik Menteri Besar Kedah, suatu hari Ustaz Azizan menerima jemputan Kelantan untuk berceramah di negeri itu, tetapi beliau enggan kerana tidak tahu berceramah dan ‘segan’ (malu) dengan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Namun, atas desakan Pak Chop, dipaksa Ustaz Azizan menerima majlis itu dan mereka ke sana dengan kereta di mana semasa di sempadan Kelantan iaitu di Jeli, Almarhum mengarahkan Pak Chop duduk di kerusi belakang bersamanya.
Kata Pak Chop, melihat kenderaan mereka disambut dan diiringi polis trafik, Ustaz Azizan bergenangan air mata sambil menyebut bahawa sepatutnya nikmat kemenangan itu dirasai oleh sahabat-sahabatnya yang berjuang dahulu terutama Ustaz Fadzil.
“Kita dapat kejayaan apa pun memang pencetus orang yang terdahulu daripada kita. Jangan kita sombong, kalau sekarang kita berjaya, kita jadi Exco ke, jadi Menteri Besar ke, jadi apa pun, jangan kita sombong, orang terdahulu itu perjuangan yang mendatangkan kejayaan di masa kita,” nasihat Pak Chop.
Ustaz Azizan juga beritahunya, meluahkan banyak perkara, selain turut mengambil maklum dan tahu mengenai orang-orang yang bekerja di bawah beliau yang menampakkan sifat kasih sayang dan prihatinnya.
Antara pernah diluahkan Almarhum setelah PAS Kedah menerajui pemerintahan kerajaan negeri adalah kalangan yang sering mengganggu kacau beliau adalah golongan ustaz dan tok-tok guru.
“Golongan macam hang ini bukan tahu apa, bukan tahu nak minta apa, hangpa duduk kira buat kerja saja, siang malam kerja. Hangpa itu kalau minta, aku kena bagi, hak hangpa.
“Sebab kejayaan yang hangpa buat kerja. Tapi hangpa tak mahu, golongan macam hang ini tak mai kacau aku. Yang kacau itu golongan lagu itulah,” luah Ustaz Azizan tanpa menyebut nama sesiapa sebagaimana diulang sebut Pak Chop.
Ikhlas dari kepentingan
Pak Chop memuji Ustaz Azizan sebagai pemimpin yang tinggi keikhlasan perjuangan beliau hinggakan kegagalan temuduga anak beliau untuk mendapat tempat kemasukan ke Maktab Mahmud tidak dirayunya, apatah lagi memberi arahan.
Begitu juga kata Pak Chop, Sultan Kedah, Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah mendapat tahu bahawa Ustaz Azizan tidak mengambil elaun-elaunnya dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.
Tuanku Sultan kata Pak Chop, menasihati Ustaz Azizan yang memasukkan semua elaun itu ke Tabung Tunku Mahmud untuk mengambilnya bagi kegunaan belanja kerana mempunyai anak-anak ramai.
Menurut Pak Chop, Ustaz Azizan enggan mengambil elaun-elaun tersebut kerana menyatakan bahawa gaji diterimanya sebagai Menteri Besar sudah mencukupi dan jika diambil akan berasa hendak banyak lagi.
“Sedangkan dia kata, sembahyang sunat sebelum Subuh itu lebih baik (fadhilat) dari seisi dunia. Jadi kita nak ambil hat mana? Kena beringat, pengalaman Pak Chop sendirilah pernah jadi Setiausaha Perhubungan, jadi Senator, memang peluang untuk nak ambil dunia ini banyak.
“Banyak sangat, terutama dengan jalan yang tak sah. Tapi kita bila kita ingat dekat Allah Taala, ingat dekat akhirat, itu dinding yang utama, tembok yang utama untuk kita tak langgar sempadan. Insya-Allah kita akan selamat.
“Yang paling penting selamat di akhirat lah. Kalau dunia selamat, akhirat tak selamat, nak buat apa?” ujarnya menitip pesanan daripada Ustaz Azizan yang dipegangnya.
Semoga Allah merahmati kedua-dua Almarhum. Al-Fatihah.
IZWAN ABDUL HALIM
[email protected]
(Penulis juga pernah bertugas di Pejabat PAS, Jalan Kota dan Kompleks PAS, Batu 9 sebagai Penolong Setiausaha Kerja Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah) – HARAKAHDAILY 26/9/2023
Almarhum Ustaz Azizan: Membaja subur PAS di Kedah
Dikisahkan oleh Dato' Yusof Husin atau Pak Chop
- Advertisement -