Almarhum Tan Sri Azizan Abd Razak: Kisah sebuah legasi

HARI ini genaplah sedekad Almarhum Tan Sri Azizan Abdul Razak pergi meninggalkan kita semua. Al-Fatihah buat Almarhum yang senantiasa dirindui kelibatnya dan dikenang segala jasanya.

Saya diminta untuk menukilkan sesuatu mengenai Almarhum bagi mengenang satu dekad pemergiannya. Sejujurnya, tidak pernah timbul rasa jemu untuk menulis mengenai kehebatan perjuangan yang ditinggalkan Almarhum.

Jika ditanya apa jasa besar yang ditinggalkan beliau kepada para pejuang di bumi Jelapang Padi ini? Nescaya saya akan menjawab satu jawapan yang ringkas tetapi penuh makna iaitu sebuah legasi perjuangan kepada PAS dan Negeri Kedah.

Cerita Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan adalah kisah sebuah legasi perjuangan. Hebatnya sesuatu kepimpinan bukan kerana bilangan pangkat yang diterima, jauh sekali berapa harta yang dikumpulkan, tetapi terletak pada kehebatan legasi perjuangan yang ditinggalkan.

Legasi tersebut melahirkan kekuatan baharu kepada PAS dan rakyat Kedah sehingga munculnya individu paling disegani di negeri ini iaitu YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor.

Almarhum antara paling lama berkhidmat sebagai Pesuruhjaya PAS Kedah iaitu selama 13 tahun bermula tahun 2000.

Beliau meniupkan hamasah perjuangan ketika ramai yang terduduk resah kehilangan sentuhan kepimpinan Almarhum Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Noor yang pulang dijemput Ilahi pada 23 Jun 2002.

Jentera organisasi disusun semula di pelbagai peringkat. Gerak kerja parti diperkemas. Perkara ini tidaklah sukar bagi beliau memandangkan beliau sendiri pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha PAS Kedah sebelum diangkat menjadi Pesuruhjaya.

Strategi dirangka di peringkat parti bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya dengan memberikan fokus utama kepada pendaftaran pemilih.

Ia membuahkan hasil lumayan dengan kemenangan PAS bersama-sama rakan-rakan Pakatan Rakyat (PR) pada tahun 2008. Itulah kali pertama pemimpin parti daripada PAS mentadbir Negeri Kedah dan daripada situlah jua sebuah legasi baharu pentadbiran dicipta.

Almarhum sangat menitikberatkan soal pendidikan rakyat. Inilah salah satu legasi besar pentadbiran Almarhum yang sememangnya diperturunkan cara fikir dan cara bertindaknya yang sama dengan YAB Sanusi.

Mercu tanda pendidikan pada era Almarhum adalah Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (UniSHAMS) di Kuala Ketil yang berkembang pengajian dari diploma hingga kedoktoran falsafah (PhD). Malah, bidang ditawarkan juga semakin banyak termasuk perubatan.

Selain itu, Almarhum juga merintis penubuhan Maahad Tahfiz Sains Darul Aman (MTSD) yang awalnya dicadangkan di Pulau Tuba, Langkawi dan sebagai permulaan dilaksanakan dahulu di Kulim. Usaha mencahayakan Negeri Kedah dengan al-Quran ini antara salah satu daripada rantaian legasi daripada Almarhum. Kini di bawah YAB Sanusi, beliau berhasrat membangunkan Maahad Tahfiz aliran kemahiran teknikal pula.

Dua mercu tanda inipun sudah memadai menjadi batu asas dan memahat legasi sebuah pentadbiran yang dipimpin beliau sebagai Menteri Besar Kedah sepanjang satu penggal tahun 2008 hingga 2013.

Bagi PAS sendiri, Almarhum mengusahakan pembangunan Muassasah Darul Ulum. Ia bermula dengan pembelian tanah di Bukit Larek, Pokok Sena pada tahun 1984. Kini, berdirinya Kompleks Pendidikan Muassasah Darul Ulum di Pokok Sena adalah hasil legasi Almarhum bersama Almarhum Ustaz Fadzil Noor.

Almarhum Ustaz Azizan antara lain juga merancakkan ekonomi menerusi pembinaan Aman Sentral di mana suatu ketika adalah merupakan terbengkalai lebih 30 tahun. Walaupun berdepan pelbagai tribulasi sepanjang pembinaan itu, ia kini dapat dilihat megah di tengah Bandaraya Alor Setar.

Dalam aspek pelancongan, Hotel Adya di Langkawi yang patuh syariah juga adalah hasil kesungguhan Almarhum dengan kini bertambah rangkaian lagi.

Ketika kini seluruh dunia dilaporkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sedang menghadapi kenaikan harga barangan makanan, kita tidak dapat lari juga teringat kepada Almarhum. Sebagai Menteri Besar Kedah dahulu, beliau pernah mengutarakan gagasan ‘Kedah: Belanda Timur’.

Ustaz Azizan mahu Kedah menjadi penyumbang makanan menerusi usaha pertanian yang hebat sebagai satu usaha keterjaminan atau sekuriti makanan. Kini hasrat Almarhum itu digiatkan YAB Dato’ Seri Sanusi antaranya memperkasakan pengeluaran padi di Kedah kepada lima kali dalam dua tahun dicelah-celah kemelut isu beras tempatan yang dikatakan kurang dalam pasaran rakyat Malaysia.

Almarhum bahkan tidak ‘mewariskan’ bangunan fizikal buat generasi perjuangan hari ini, Almarhum juga sebenarnya telah meninggalkan legasi kepimpinan parti di peringkat 15 PAS Kawasan dan PAS Negeri yang menyambung usaha tarbiyah, dakwah, siasah dan khairiah di bumi Hijau Kuning ini.

Ketika diketuai beliau, PAS Kedah pernah menang 16 DUN dan dicukupkan dengan gabungan rakan-rakan PR, beliau menerajui pemerintahan Kerajaan Negeri Kedah. Pendekatan pentadbiran Almarhum sedikit berbeza dari Kelantan dan Terengganu di mana adanya Exco bukan Islam, sesuai komposisi kaum di negeri ini.

Pentadbiran Almarhum juga berjaya membina hubungan yang baik bersama Pegawai Pentadbir Kerajaan Negeri Kedah (KCS). Dari sudut sokongan politik, Almarhum memberi kebebasan kepada mereka menyokong dan memilih mana-mana parti, namun mempertegaskan mesti komited dengan kerajaan pada waktu bekerja.

Itulah sebahagian kisah sebuah legasi Almarhum. Cerita ini akan disambung daripada generasi kepada generasi yang akan datang. Legasi ini akan terus bersambung dengan izin daripada-Nya.

Sudah 10 tahun beliau pergi meninggalkan kita semua. Biarpun jasadnya telah pergi, roh dan legasi perjuangan Almarhum masih kekal teguh bersama PAS dan rakyat di negeri ini.

Semoga Allah S.W.T merahmati Almarhum di sana insya-Allah.

YB DATO’ USTAZ HAJI AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Pokok Sena

(Penulis adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah semasa Almarhum sebagai Pesuruhjaya PAS Kedah) – HARAKAHDAILY 26/9/2023

Advertisement