
WASHINGTON: Insiden ucapan berbaur hasutan kebencian anti-Muslim secara purata lebih daripada sekali sehari pada separuh pertama 2023, dilihat kini berlaku kebanyakannya di negeri-negeri di India menjelang pilihan raya akan datang.
Menurut laporan oleh Hindutva Watch, sebuah kumpulan yang berpangkalan di Washington yang memantau serangan terhadap golongan minoriti di India, terdapat 255 insiden perhimpunan hasutan kebencian yang didokumenkan menyasarkan umat Islam sepanjang separuh pertama 2023; namun tiada data perbandingan untuk tahun-tahun sebelumnya.
Pertubuhan itu menggunakan takrifan ‘hasutan kebencian’ yang menurut istilah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai ‘sebarang bentuk komunikasi… yang menggunakan bahasa prejudis atau diskriminasi terhadap individu atau kumpulan berdasarkan sifat-sifat seperti agama, etnik, kewarganegaraan, bangsa, warna kulit, keturunan, jantina, atau faktor identiti lain’, lapor Arab News.
“Kira-kira 70 peratus daripada insiden itu berlaku di negeri yang dijadualkan mengadakan pilihan raya pada 2023 dan 2024.
“Maharashtra, Karnataka, Madhya Pradesh, Rajasthan, dan Gujarat menyaksikan jumlah tertinggi perhimpunan ucapan kebencian, dengan Maharashtra menyumbang 29 peratus daripada kejadian tersebut.
“Majoriti acara ucapan kebencian menyebut teori konspirasi dan menyeru keganasan dan boikot sosio-ekonomi terhadap umat Islam,” dedah laporan Hindutva Watch.
Tambah laporan itu, kira-kira 80 peratus daripada acara perhimpunan ucapan kebencian berlaku di kawasan yang ditadbir oleh Parti Bharatiya Janata (BJP), di bawah pimpinan nasionalis Hindu, Perdana Menteri Narendra Modi yang dijangka memenangi pilihan raya umum pada 2024 – biarpun pilihan raya belum berlangsung.

Hindutva Watch berkata, ia menjejaki aktiviti dalam talian kumpulan nasionalis Hindu (yang dikaitkan dengan sebuah pertubuhan sukarela separa tentera sayap kanan nasionalis Hindu yang wujud di India, Rashtriya Swayamsevak Sang/RSS Hindutva), mengesahkan video ucapan kebencian yang disiarkan di media sosial dan mengumpulkan data insiden terpencil yang dilaporkan oleh media.
Kerajaan Modi bagaimanapun menafikan perkara itu; manakala kedutaan India di Washington tidak menjawab permintaan media untuk memberikan komen mengenai isu berkenaan.
Kumpulan-kumpulan hak asasi manusia mendakwa penganiayaan sangat banyak dilakukan terhadap umat Islam sejak India berada di bawah kepimpinan Modi, yang menjadi perdana menteri bermula pada 2014.

Ia merujuk kepada undang-undang kewarganegaraan 2019 yang disifatkan sebagai ‘pada asasnya diskriminasi’ oleh pejabat hak asasi manusia PBB kerana mengecualikan pendatang Islam; undang-undang anti-penukaran yang mencabar hak kebebasan beragama yang dilindungi oleh perlembagaan 2019, dan membatalkan status istimewa Kashmir yang majoritinya penganut Muslim.
Terdapat juga perobohan aset hartanah Muslim atas nama menghapuskan pembinaan haram dan larangan memakai tudung di dalam bilik darjah di Karnataka sepangang BJP berkuasa di negeri itu. – HARAKAHDAILY 26/9/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!