KUALA LUMPUR: Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz meminta kerajaan menyepadukan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) dan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai.
Selain itu, beliau ingin tahu perkembangan terbaharu pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai.
“Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (LTU)…saya nak ucap terima kasih kerana saya sendiri pun semakin hari semakin berasa dekat ke Kota Bharu.
“Sebab satu demi satu (pakej projek LTU) dibuka, terima kasih,” katanya mencelah penggulungan Timbalan Menteri Kerja Raya pada sesi Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Negara, hari ini..
Nik Mohamad Abduh berkata, antara perkara menarik mengenai LTU yang sebelum ini dikenali sebagai Central Spine Road (CSR) ialah sama seperti Lebuh Raya Pan Borneo, iaitu tidak dikenakan tol.
“Soalan saya kalau boleh, ada tak rancangan kerajaan berhubung lebuh raya tanpa tol lain? Sebab ini yang dinantikan oleh rakyat yang tak nak dengar lagi pasal tol ini,” katanya.
Sementara itu, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad memaklumkan bahawa status terkini projek Lebuh Raya Kota Bharu- Kuala Krai ialah sebanyak 47.8 peratus, berbanding unjuran sebanyak 49 peratus.
“Ini bermakna terdapat kelewatan lebih kurang 1.15 peratus akibat beberapa perkara. Insya-Allah, kita sentiasa mengkaji dari semasa ke semasa,” katanya.
Mengulas lebuh raya tanpa tol, katanya memang rakyat seronok, tetapi kerajaan perlu mengambil kira kos penyelenggaraan. – HARAKAHDAILY 25/9/2023