Sentuhan Morata bantu Atletico benam Real Madrid

Alvaro Morata beraksi ketika Atletico Madrid menentang Real Madrid dalam derbi La Liga pada 24 Sept 2023. (FOTO: LiveScore)

MADRID: Dua sentuhan jaringan Alvaro Morata membantu Atletico Madrid memastikan kemenangan bergaya ke atas seteru jiran, Real Madrid dengan jaringan 3-1 dalam derbi La Liga pada Ahad.

Bermula garang di awal permainan, Morata membuka jaringan tuan rumah pada minit keempat di stadium Metropolitano yang dipenuhi penonton dengan tandukan padu hasil dari hantaran Samuel Lino, sebelum Antoine Griezmann menambah kelebihan Atletico juga menerusi tandukan pada minit ke-18 hasil hantaran lintang Saul Niguez.

Advertisement

Real madrid cuba bangkit di dalam perlawanan tersebut dan berjaya merapatkan kedudukan menerusi Toni Kroos yang merembat deras dari luar kotak penalti, menjadikan keputusan 2-1, lapor Reuters.

Walau bagaimanapun Morata sekali lagi muncul sebagai pemusnah apabila menoktahkan kebangkitan Real dan memastikan 3 mata penuh milik Atletico apabila menanduk masuk gol ketiga sejurus separuh masa kedua bermula, hasil hantaran Saul sekaligus mengekalkan kedudukan 3-1 sehingga wisel penamat.

Dengan berbaki satu perlawanan, Atletico kini melonjak naik ke tangga ke-5 La Liga dengan sepuluh mata, sementara Real Madrid yang memegang takhta sebelum ini turun ke tangga ke-3 dengan 15 mata, 1 mata di belakang Barcelona dan Girona.

Dalam aksi perlawanan di Wanda Metropolitano tersebut, Atletico di bawah pengendalian Diego Simeone dilihat selesa menguasai permainan, menyaksikan pada penghujung perlawanan  pasukan itu dengan bersahaja bertukar hantaran sesama sendiri sambil sorakan bergema penyokong tuan rumah menambah keyakinan pasukan dengan sorakan “ole, ole, ole” sehingga wisel penamat.

Beberapa peluang lain Atletico turut hadir selepas ledakan Morata di awal permainan melalui Jose Maria Gimenez yang mana peluang keemasan pada minit ke-10 itu, disia-siakan selepas tandukan hasil hantaran Griezmann tersasar.

Sementara, peluang terbaik Real kali pertama hadir pada minit ke-30 apabila rembatan lencong Eduardo Camavinga ditempias keluar.

Penjaga gol Atletico, Jan Oblak turut menampilkan aksi cemerlang apabila menafikan rembatan Fede Valverde yang merembat terus dari hantaran sudut, sebelum serangan balas selepas itu hampir dimanfaatkan Atletico menerusi Saul namun diselamatkan Kepa Arrizabalaga.

Jaringan Kroos selepas itu menjadikan kedudukan 2-1 dan Camavinga hampir menyamakan kedudukan apabila menggegar gawang lawan sebelum dibatalkan kerana ofsaid.

Sejurus jaringan ketiga Atletico, Real seolah-olah kehilangan rentak permainan dan gagal untuk melakukan sebarang kebangkitan pada perlawanan kali ini.

“Saya sangat gembira dengan penyokong yang hadir pada harini ini dan sokongan yang amat menakjubkan,” ujar Morata dalam satu kenyataan.

“Saya sudah katakan sebelum ini, para penyokong memainkan peranan  yang amat penting buat pasukan. Dan itulah mereka (penyokong) lakukan. Ia sangat menakjubkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/9/2023