JEDDAH: Hujan ringan hingga sederhana disertai ribut debu diramal dialami di kota Makkah, Al-Jamoum, Al-Kamil, Qunfudhah, dan Allaith di wilayah Makkah serta di wilayah Najran, Al-Baha, Madinah dan Asir.
Direktorat Am Pertahanan Awam Saudi dalam kenyataannya berkata, hujan sederhana hingga lebat dijangka melanda Taif, Maysan, Adham dan Al-Ardiyat di wilayah Makkah, sementara wilayah Asir, Jazan, dan Al-Baha akan menerima hujan sederhana hingga lebat yang boleh menyebabkan hujan batu, dan ribut pasir pada hari-hari tersebut.
Ia adalah susulan ramalan cuaca mengenai kemungkinan ribut petir melanda kebanyakan wilayah Arab Saudi bermula dari Ahad (24 Sept) hingga Khamis (28 Sept) ini.
Sehubungan itu, orang ramai digesa supaya berada di tempat yang selamat dan menjauhi tempat-tempat berisiko terutamanya lembah yang berkemungkinan berlaku banjir dan paya air.
“Penduduk juga dinasihatkan agar tidak berenang di kawasan paya air, selain perlu mematuhi arahan yang diumumkan dari semasa ke semasa oleh pihak berkuasa melalui pelbagai media dan laman sosial,” ujar kenyataan itu.
Ribut debu di Saudi paling ketara berlaku dari bulan Februari hingga Jun, dengan puncak pertengahan musim sejuk di sepanjang pantai selatan Laut Merah, puncak musim bunga merentasi utara Arab negara itu di sekitar Gurun An Nafud dan puncak awal musim panas di timur Arab Saudi sekitar Ad Gurun Dahna.
Kira-kira 15 hingga 20 ribut debu melanda Saudi setiap tahun yang memberikan kesan mendalam terhadap semua aspek aktiviti manusia dan proses semula jadi di rantau berkenaan. – HARAKAHDAILY 25/9/2023