ALOR SETAR: Proses mendapatkan unsur nadir bumi (REE) bukan semudah melombong emas atau bijih timah sebaliknya memerlukan kemahiran dan teknologi terkini untuk mengekstrakkannya.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, proses untuk mengekstrak mineral berkenaan sangat rumit dan hanya syarikat yang memiliki kepakaran teknologi itu sahaja mampu mengendalikannya.
“REE merupakan mineral yang rumit untuk diproses, bukan macam bijih timah yang bila diayak boleh nampak bijih. Emas pula bila didulang nampak emas.
“Namun, ia perlu melalui pelbagai proses antara tujuh hingga lapan peringkat untuk mendapatkannya.
“Tidak mudah untuk pihak yang tiada teknologi untuk menghasilkannya,” jelasnya pada sidang media selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pertama penggal ke-15, di sini, hari ini.
Sanusi berkata demikian sebagai respons susulan kejadian kecurian REE di Hutan Simpan Rimba Teloi, Sik, 14 September lalu membabitkan sembilan lelaki tempatan dan warga asing.
Tambah beliau, buat masa ini kepakaran untuk menghasilkan REE hanya ada di China dan Amerika Syarikat dan teknologi itu belum dipindahkan ke negara luar yang lain.
“Untuk menghasilkan REE ia melalui proses kimia yang panjang serta setiap elemen harus melalui pelbagai proses, bukan mudah-mudah diekstrak oleh mereka yang mencurinya.
“Jadi, saya nasihat janganlah ‘pi’ (pergi) korek sendiri macam itu. Proses dapatkan REE bukanlah mudah seperti emas atau bijih timah,” tambah beliau.
Menurutnya lagi, beliau juga sudah diberi maklum melalui laporan Jabatan Perhutanan Kedah berhubung kes kecurian berkenaan.
Dalam pada itu, pada Ahad lalu, Ketua Polis Kedah, Dato’ Fisol Salleh menegaskan kesembilan suspek berusia antara 30-an hingga 60-an telah didakwa bawah Seksyen 47(1) Akta Perhutanan Negara 1984 kerana memasuki hutan simpan tanpa permit.
Pendakwaan itu juga membabitkan Seksyen 55B, Seksyen 39B, Seksyen 6(1)c dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 bagi beberapa kesalahan imigresen di Mahkamah Baling.
Mereka yang ditahan merupakan empat lelaki tempatan, empat lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki warga China.
Mengulas mengenai perkembangan itu, Sanusi berharap agar tiada lagi kes kecurian REE berlaku selepas ini. – HARAKAHDAILY 25/9/2023