Penerima rasuah `dikerjakan’ habis-habisan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan pendakwaan kes rasuah yang lebih tertumpu kepada penerima rasuah menyebabkan Senator Hussin Ismail berpandangan golongan berkenaan `dikerjakan’ habis-habisan.

Namun, katanya amalan rasuah membabitkan pemberi dan penerima, tetapi sehingga kini identiti pemberi rasuah hanya akan diketahui apabila penerima rasuah dihadapkan ke mahkamah.

- Advertisement -

“Sekarang seolah-olah pemberi rasuah yang mengharap projek dan penerima rasuah yang mengharap duit…yang mengharap duit itu yang sebenarnya dikerjakan habis-habisan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK-12) ketika mencelah penggulungan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) di Dewan Negara, hari ini.

Hussin berkata, keadaan ini seolah-olah pemberi rasuah untuk mendapatkan projek besar berasa selesa.

Sehubungan itu, beliau meminta pencerahan kerana apabila seseorang sudah disabitkan menerima rasuah, sudah tentu tentu ada orang yang memberikan rasuah.

Sementara itu Ramkarpal Singh ketika menjawab celahan itu berkata, dari segi praktikal adalah susah untuk mendapatkan keterangan pengadu bagi mencapai satu sabitan kes rasuah.

“Secara lazim, pengadu merupakan pemberi rasuah, tetapi seperti yang saya telah maklumkan, memang terdapat kes-kes yang pemberi rasuah juga dituduh (di mahkamah) dan disabitkan (kesalahan).

“Jadi tidak semesti pemberi (rasuah) tidak akan dikenakan tindakan. Ada banyak juga kes mereka (pemberi rasuah) dituduh dan disabitkan (kesalahan),” katanya. – HARAKAHDAILY 25/9/2023

- Advertisement -