
LONDON: Polis mengesahkan kematian pemain tengah Sheffield, Maddy Cusack sebagai bukan sesuatu yang mencurigakan.
Pemain pertama yang mencapai 100 penampilan untuk pasukan wanita kelab musim lalu itu meninggal dunia minggu lepas pada usia 27 tahun.
Polis Derbyshire yang mengeluarkan kenyataan pengesahan tersebut pada hari ini, Isnin (25 Sept) berkata, mereka telah dihubungi untuk datang ke alamat kediaman mendiang di Horsley sejurus selepas jam 18:35 BST pada Rabu (20 Sept), lokasi di mana Cusack disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, sambil menambah, fail kini akan disediakan untuk koroner, lapor BBC.
Pemain dan peminat memberi penghormatan kepada Cusack yang telah bermain untuk United itu sejak 2019 dan juga bekerja di bahagian pemasaran kelab itu sebelum Blades kalah 8-0 dalam Liga Perdana kepada Newcastle United pada Ahad (24 Sept).
Ahli keluarga Cusack menyertai kapten wanita United, Sophie Barker dan bekas pemain, Tony Currie untuk meletakkan kalungan bunga di bulatan tengah padang bola sepak sebelum perlawanan Liga Perdana Sheffield United menentang Newcastle itu.
Senyap seminit diadakan sebelum sepak mula, dengan penyokong bertepuk tangan pada minit kelapan perlawanan untuk mewakili nombor skuad Cusack.
Peminat memegang papan tanda dan bendera yang tertera nama Cusack dan bendera kelab di Bramall Lane berkibar separuh tiang sepanjang hari.
Penghormatan juga diberikan sebelum England menentang Scotland di Stadium of Light Sunderland pada Jumaat (22 Sept), dengan pemain dari kedua-dua belah pihak memakai lilitan lengan hitam dan tempoh berdiam diri sebelum sepak mula dalam ingatannya.
Dalam satu kenyataan mengumumkan kematian Cusack pada Khamis (21 Sept), Blades berkata mereka ‘hancur’ dengan kematian Cusack, manakala pada Jumaat (22 Sept), pengurus lelaki pasukan itu, Paul Heckingbottom berkata mendiang adalah ‘sebahagian besar daripada segala-galanya’ di kelab itu. – HARAKAHDAILY 25/9/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!