Hanya Cikgu Kassim calon anak tempatan tinggal di Pelangai

Ustaz Rosli Abdul Jabar semasa ditemui Ketua Pengarang Harakah, Mazlan Jusoh di Bilik Operasi PERIKATAN NASIONAL PRK DUN Pelangai di Kampung Bukit Gajah, petang semalam.
- Advertisement -

BENTONG: Rakyat di Dewan Undangan Negeri (Dun) Pelangai mempunyai tiga pilihan bagi memilih pemimpin pada 7 Oktober ini sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi menggantikan Dato’ Seri Johari Harun yang meninggal dunia 17 Ogos lepas.

- Advertisement -

Pemimpin terbabit iaitu Kasim Samat mewakili Perikatan Nasional (PN) merupakan anak tempatan yang tinggal di Dun Pelangai, manakala Dato’ Amizar Abu Adam (BN) juga anak tempatan, namun tinggal di luar Pelangai.

Ahli Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Bentong yang juga Pengerusi NGO Suara Anak Pahang, Haslihelmy DM Zulhasli turut bertanding sebagai calon bebas sebagai protes terhadap calon BN.

Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Rosli Abdul Jabar berkata, rakyat di Dun Pelangai hendaklah memilih calon orang tempatan yang tinggal di kawasan berkenaan.

Katanya, kriteria tersebut hanya ada pada Cikgu Kassim yang tinggal di Felda Bukit Mendi dan pernah berkhidmat sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Chemomoi, Pelangai.

“Cikgu Kassim dikenali ramai penduduk tempatan kerana terlibat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan termasuk Pertubuhan Seni Silat Gayong,” katanya pada ceramah mega sempena PRK Dun Pelangai di Dataran Purnama, Simpang Pelangai malam tadi.

Oleh itu, beliau yakin Cikgu Kasim akan menjadi pilihan pengundi di Dun Pelangai 7 Oktober ini memandangkan penglibatan aktif dalam masyarakat sejak dahulu sehingga sekarang.

Sementara itu ketika ditemui di Pusat Operasi PRK Dun Pelangai, Ustaz Rosli yang juga Adun Tanjung Lumpur berkata, Dun Pelangai yang terletak di Pahang barat agak ketinggalan berbanding dengan kawasan lain.

Sedangkan sebelum ini Dun berkenaan diwakili seorang menteri besar dalam tempoh begitu lama, namun tidak banyak kemudahan asas disediakan bagi manfaat penduduk.

Menurutnya kawasan berkenaan hanya ada kedai runcit yang kecil menyediakan keperluan harian bagi keperluan penduduk.

“Selain itu hanya ada sebuah stesen minyak dan mesin ATM yang tidak sepadan dengan jumlah penduduk.

“Dun Pelangai terletak di kawasan strategik kerana bersempadan dengan Negeri Sembilan yang menjadi laluan utama penduduk,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/9/2023