Tiga calon bertanding PRK DUN Pelangai

Calon PERIKATAN NASIONAL, Cikgu Kasim (tengah) bersama Amizar (kanan beliau) dan Haslihelmy. (Foto oleh MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE)

BENTONG: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon PERIKATAN NASIONAL, Cikgu Kasim Samat, Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam dan Haslihelmy DM Zulhasli (Bebas).

Advertisement

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Mohammad Shahid Ismail mengumumkan senarai calon yang bertanding jam 10.20 pagi, selepas proses penamaan calon di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di sini ditutup pada jam 10 pagi.

Terdahulu, Amizar yang diiringi pencadang dan penyokong menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.01 pagi, diikuti Cikgu Kasim satu minit kemudian, manakala Haslihelmy pada jam 9.08 pagi.

Haslihelmy menggunakan simbol kereta.

Senarai nama calon mengikut cabutan undi, yang pertama ialah Cikgu Kasim, diikuti Haslihelmy dan Azmizar.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan pilihan raya dipertandingkan oleh pegawai pengurus sehingga jam 11.59 malam, 6 Oktober (Jumaat).

Menurutnya, SPR telah menubuhkan sebanyak dua Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) untuk memantau semua aktiviti calon-calon yang bertanding ketika berkempen.

“SPR berharap agar aktiviti berkempen berjalan dalam suasana yang penuh harmoni serta mengikut undang-undang dan peraturan- peraturan yang ditetapkan,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan lancar pada hari ini.

SPR telah menetapkan pengundian awal pada 3 Oktober manakala 7 Oktober sebagai hari pengundian.

PRK DUN Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya, Dato’ Seri Johari Harun dalam nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu.

Pada PRU15 lalu, Johari mendapat 7,308 undi, Kasim Samat (3,260 undi), Ahmed Wafiuddin Shamsuri (PH – 2,031) dan Isa Ahmad (PEJUANG – 65). – HARAKAHDAILY 23/9/2023