Pelangai: Timbalan Menteri DAP umum projek segera dipersoal

Syahir Sulaiman

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman mempersoalkan tindakan Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Yin membuka tirai Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai dengan memberi peruntukan tambahan kepada tiga buah sekolah di Pelangai, sehari sebelum penamaan calon.

Advertisement

Menurutnya, mungkin secara kebetulan, namun tindakan timbalan menteri daripada DAP itu bercanggah dengan slogan yang dilaungkan oleh parti itu sebelum ini supaya pilihan raya berlangsung dengan bersih dan saksama.

“Amalan mengumumkan projek segera dan peruntukan tambahan dalam tempoh sebelum dan semasa berkempen, memberikan kelebihan kepada pihak kerajaan berbanding pembangkang.

“Budaya politik ‘sogokan’ dan ‘ugutan’ tidak wajar diteruskan, walaupun disaksikan berlaku secara terbuka dalam PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram sebelum ini,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Malah, kata beliau pihak BERSIH turut kesal dan membuat laporan polis terhadap ucapan yang berbaur sogokan dan ugutan untuk memancing undi dalam PRK Parlimen Pulai tempoh hari.

“Kami mengharapkan pilihan raya di DUN Pelangai, sebuah kawasan pedalaman terpencil, tidak dicemari dengan politik wang, sogokan dan ugutan terhadap pengundi,” katanya yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS.

Beliau berharap semoga pengundi, khususnya generasi muda, lebih matang menilai pemimpin yang benar-benar ikhlas dan jujur dalam membeka dan memperjuangkan nasib rakyat.

PRK DUN Pelangai menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon PERIKATAN NASIONAL, Cikgu Kasim Samat, Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam dan Haslihelmy DM Zulhasli (Bebas).

Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Mohammad Shahid Ismail selepas proses penamaan calon di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di sini ditutup pada jam 10 pagi tadi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR telah) menetapkan pengundian awal pada 3 Oktober manakala 7 Oktober sebagai hari pengundian.

PRK DUN Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya, Dato’ Seri Johari Harun dalam nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu. – HARAKAHDAILY 23/9/2023