BENTONG: PRK N.36 Pelangai akan menjadi kemuncak kepada kebangkitan orang Melayu di Tanah Melayu ini setelah ianya bermula di negeri-negeri Melayu termasuk di negeri Pahang pada PRU15 yang lalu.
Pengarah Pilihan Raya PERIKATAN NASIONAL (PN), Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, walaupun pada PRU15 itu adalah permulaan, PN telah pergi ke peringkat maksimum dari segi mendapat sokongan Melayu.
Menurutnya, semua kerusi orang Melayu telah pergi kepada PAS dan Umno-Barisan Nasional (BN) ketika itu, namun tiba-tiba Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengarahkan BN berpakat dengan DAP.
Jelas beliau, Zahid yang bermasalah dan mahu menyelamatkan dirinya itu bukan mahu memperkuatkan Melayu, tetapi mengadakan pakatan yang menyebabkan Umno-BN menubuhkan kerajaan di Pahang bersama DAP.
“Macam Zahid Hamidi buat perangailah itu. Duk heret BN heret Umno untuk selamatkan diri, untuk beri kuasa kepada DAP, beri kuasa kepada (Dato’ Seri) Anwar Ibrahim. Itu betul-betul buat perangai punya.
“Jadilah apa yang ada hari ni BN diperguna oleh pimpinannya untuk kepentingan diri,” ujar beliau yang juga Menteri Besar Kedah pada Ceramah Perdana N.36 Pelangai di FELDA Kemasul, di sini semalam.
Gelombang kebangkitan kata Sanusi, jelas nampak dilihat berlaku di Terengganu, Kelantan, Kedah dan negeri-negeri lain, tetapi Zahid Hamidi telah berbohong dan melanggar sumpah ‘No Anwar, No DAP’ yang pernah dilafaznya.
Oleh itu serunya, pengundi di N.36 Pelangai perlu memenangkan PN sebagai kemuncak kebangkitan dan membuktikan gelombang tersebut juga telah sampai ke Pahang serta mahu teras politik negara ini kekal di tangan Melayu.
Isu beras dan makan luar
Beliau turut mengupas pembohongan dilakukan pentadbiran kerajaan kini yang menafikan masalah ketiadaan beras tempatan di pasaran sebaliknya mendakwa perkara itu berlaku disebabkan oleh pembelian panik.
Sedangkan katanya, Malaysia mengeluarkan sendiri 63 peratus beras dengan Kedah penyumbang terbesar iaitu 43 peratus daripada angka itu dan keperluan selebihnya dipenuhi dengan beras import.
“Sepatutnya tak jadi masalah. Tiba-tiba hilang dari pasaran. Kena beli hat RM39. Saya duk tengok dalam video depa duk bubuh sepuluh kilo RM50 pun ada,” kesal beliau menyifatkan masalah itu disebabkan kegagalan kerajaan menguatkuasakan peraturan.
Menurut Sanusi, masalah tersebut berlaku kerana beras sedang dikawal oleh kartel dalam kalangan tauke-tauke kilang yang menghisap darah petani sedangkan mereka itu mengaut kekayaan rantaian pengeluaran beras.
“Tiap-tiap biji beras itu bukan ada tulis ‘Made in Kedah’ ka, ‘Made in Pahang’ tak ada. Dia beras import pun serupa, beras tempatan pun sama. Lagu mana nak pergi naik harga? Jadikan semua beras tempatan itu sebagai beras import. Itu yang depa buat la ni.
“Puak-puak ni pula macam mana nak jadi popular? Ni puak ‘Menteri naik lembu’ ni dia kata berlaku pembelian panik, tapi jangan bimbang sehari dua lagi, akan hantar beras tempatan.
“Dia nak jadi ‘hero’ celah-celah orang cari beras tempatan ni, mereka akan muncul dengan beribu-ribu kampit beras tempatan. Orang akan tepuk tangan pasal dia bagi jadi beras jadi murah.
“Itu Pak Pandir-Pak Pandir politik dalam Pakatan Harapan (PH) pada hari ini kepanikan yang dicipta oleh Menteri-menteri PH,” dedah dan bidasnya terhadap permasalahan sedang berlaku ketika ini.
Pembohongan juga tempelaknya, dilakukan Menteri yang sebelum ini mengeluarkan pelbagai formula berkaitan kos sara hidup rakyat, tetapi bila berlaku masalah tersebut dalam negara, dia sering menghilangkan diri.
“Dia kata kalau tak mahu harga makanan mahal, jangan makan di kedai lah. Kita pun tahu ni hat baru ni dia kata kita berlaku masalah pendapatan tak mampu membiayai kehidupan kerana orang Malaysia ketagih makan di luar,” ujarnya.
Bahaya liberalisme agama
Sanusi turut mengulas perbuatan Ahli Parlimen DAP, Howard Lee yang mentafsir ayat al-Quran secara sewenang-wenangnya di mana perbuatan tersebut disifatkannya sebagai mempersendakan kesucian agama Islam.
Di Indonesia katanya, perbuatan seumpama pernah dilakukan bekas Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok hingga rakyat negara itu berhimpun membantah keceluparan mempermainkan ayat al-Quran.
Tetapi di zaman Anwar Ibrahim bidasnya, bila Howard melakukan demikian dan ditegur oleh seorang ustaz, malangnya ustaz tersebut yang dikenakan tindakan dipanggil untuk siasatan oleh pihak polis.
Sanusi juga menyifatkan perbuatan Howard itu sebagai sebahagian agenda liberalisme agama untuk mengendurkan sendi-sendi keharmonian kaum serta kedudukan Melayu-Islam di negara ini.
Tegasnya, kesucian dan kemulian al-Quran menuntut ianya diulas atau ditafsir oleh kalangan ilmuan dalam bidang tersebut dan berkelayakan dengan disiplin ilmu berkaitan, bukan secara bebas seperti yang berlaku itu.
“Ini kerajaan liberal! Kalau kita tiupkan bantahan, sejuta orang berhimpun Kuala Lumpur minta Howard Lee tarik balik tafsir tentang ayat surah al-Maidah, dia riuh ke tak? Dia jadi riuh, jadi isu.
“Tapi kita tak boleh buat. Depa kata tak boleh, (isu) 3R (agama, kaum, raja) kalau parti kerajaan boleh, pembangkang tak boleh,” tempelaknya terhadap bahaya isu liberalisme agama itu terjadi angkara dosa Zahid Hamidi menyebabkan kerajaan Anwar ditubuhkan.
Sehubungan itu beliau mengajak pengundi N.36 Pelangai untuk mengalahkan Umno-BN pada PRK tersebut, sekali gus menghentikan segala pembohongan dan bahaya yang boleh timbul daripada liberalisme agama. – HARAKAHDAILY 23/9/2023
