Indonesia: Penunjuk perasaan bakar pejabat datuk bandar

Pejabat Datuk Bandar Pohuwato di wilayah Gorantalo, Sulawesi, Indonesia dimamah api selepas dibakar penunjuk perasaan. (FOTO: TikTok novalmamonto)
- Advertisement -

GORONTALO, Indonesia: Penunjuk perasaan telah membakar pejabat datuk bandar di sebuah pulau di Indonesia untuk menuntut pampasan atas aktiviti syarikat perlombongan di kawasan penempatan mereka.

Polis tempatan berkata, beberapa tangkapan telah dibuat, susulan pergolakan itu yang bermula Khamis (21 Sept) dalam wilayah Pohuwato, Gorontalo, di pulau Sulawesi yang kaya dengan mineral apabila demonstrasi jalanan melibatkan kira-kira 2,500 penunjuk perasaan menghampiri pejabat Datuk Bandar tempatan tetapi tiada pegawai bersedia bertemu dengan mereka, lapor Jakarta Post.

Kehadiran syarikat perlombongan yang semakin meningkat di pulau-pulau utama Indonesia telah menyebabkan rusuhan dan pertempuran sejak beberapa tahun kebelakangan ini didakwa ekoran keadaan kerja yang lemah dan berlaku pencerobohan tanah berhampiran penempatan penduduk. 

- Advertisement -

Sehubungan itu, aktivis masyarakat dilaporkan  telah menganjurkan perarakan menuntut pampasan ke atas aktiviti perlombongan emas di kawasan mereka yang didakwa telah dijalankan oleh PT Puncak Emas Tani Sejahtera, anak syarikat PT Merdeka Copper Gold yang menyelia lombong Projek Emas Pani.

“Mengenai demonstrasi itu, polis masih bekerja keras untuk menyiasat rusuhan yang berlaku semasa demonstrasi di Pohuwato,” ujar kenyataan kata polis Gorantalo di laman webnya lewat Khamis, memetik jurucakap Desmont Harjendro. 

“Selepas pejabat datuk bandar dibakar, penunjuk perasaan menuju ke bangunan parlimen tempatan untuk mengadakan satu lagi tunjuk perasaan, di mana bangunan itu turut dirosakkan, menurut laporan itu lagi.

Harjendro berkata, beberapa penunjuk perasaan telah ditangkap dan polis yang mengawal lokasi kejadian tersebut. 

Penunjuk perasaan yang mengadakan demostrasi jalanan sebelum berlaku rusuhan di Pohuwato, Gorontalo, Sulawesi. (FOTO: Tangkap layar video FB Febrianty Zaz Arifin L)

“Mereka akan disoal siasat berhubung demonstrasi ganas yang berakhir dengan kemusnahan beberapa kemudahan termasuk pembakaran pejabat Datuk Bandar Pohuwato,” katanya. 

Beliau juga  memberi amaran kepada penunjuk perasaan lain bahawa mereka akan ditangkap jika mereka terlibat dalam serangan ganas atau merosakkan harta awam. 

Sehubungan itu, Presiden Pengarah Merdeka Copper Gold dan PT Puncak Emas Tani Sejahtera, Boyke Poerbaya Abidin mengkritik penunjuk perasaan yang merusuh. 

“Kami amat kesal dengan kejadian itu dan  mengecam tindakan ganas oleh penunjuk perasaan tidak bertanggungjawab yang telah menyebabkan kerosakan,” katanya dalam satu kenyataan pada yang menambah bahawa projek perlombongan itu beroperasi atas lesen yang diluluskan kerajaan Indonesia. – HARAKAHDAILY 22/9/2023

- Advertisement -