Nasionalis desak NATO berambus dari Bulgaria

SOFIA: Polis Bulgaria bergelut dengan penyokong parti ultranasionalis Vazrazhdane (Kebangkitan) yang memprotes dasar kerajaan pro-Barat, menggesa kerajaan meletak jawatan dan menutup pangkalan tentera NATO.

Beratus-ratus penunjuk perasaan yang menentang sokongan anggota Kesatuan Eropah (EU) itu terhadap Ukraine dalam peperangan dengan Rusia, berkumpul di hadapan bangunan parlimen, mengibarkan bendera kebangsaan Bulgaria dan Rusia, meniup wisel dan menuntut pilihan raya awal di negara yang telah melalui lima pilihan raya dalam tempoh dua lepas tahun lalu.

Advertisement

Ramai yang menjerit “letak jawatan”, manakala polis rusuhan melindungi bangunan kerajaan, termasuk Kementerian Pertahanan yang menjadi sasaran beberapa penunjuk perasaan membaling telur.

Bulgaria yang menghantar senjata ke Ukraine, menarik balik larangan ke atas bijirin Ukraine minggu lalu.

“Rakyat Bulgaria tidak mahu terbabit dalam peperangan antara Rusia dan Ukraine. Kami mahu menjadi negara berkecuali,” kata Neli Tyulekova, 60, seorang ahli perniagaan. Dia berkata, rakyat Bulgaria juga menentang penghantaran senjata ke Ukraine kerana akan menyebabkan peperangan berlanjutan.

Beberapa penunjuk perasaan membawa sepanduk bertulis “berambus pangkalan Amerika Syarikat (AS)! Bulgaria zon keamanan”, merujuk kepada pembukaan pangkalan tentera baharu di negara anggota NATO itu.

“AS menjadi tuan, memberi keputusan muktamad kepada Bulgaria supaya membuka pangkalan tentera baharu NATO,” kata Kostadin Kostadinov, ketua Revival kepada orang ramai.

Penunjuk perasaan menamatkan perjalanan mereka di hadapan monumen tentera Soviet, dan bertempur dengan polis yang cuba menghalang mereka daripada mendekati monumen yang diletakkan di bawah perancah atas sebab keselamatan.

Kerajaan memutuskan untuk tidak memindahkan monumen itu.

Neli Balabanska, 51, seorang jurutera elektrik, berharap protes itu akan memaksa kerajaan keluar dari NATO.

Sementara itu, Bulgaria mengusir seorang warga Rusia dan dua warga Belarus serta menghalang mereka memasuki Bulgaria dalam tempoh lima tahun akan datang atas perintah Agensi Negara bagi Keselamatan Negara (SANS), lapor media tempatan. – REUTERS