‘Matlamat kita untuk tambah kerusi ke-18’

Andansura Rabu

KUANTAN: “Matlamat kita adalah untuk menambah kerusi ke-18 dalam Dewan Negeri Pahang,” kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu.

Advertisement

Sehubungan itu, katanya PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) menggerakkan semua petugas menyantuni seramai mungkin pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai

“Lantaran itu, kita sedang menggerakkan semua petugas dan jentera kita untuk menyantuni pengundi-pengundi seramai mungkin di Pelangai ini serta memberikan kefahaman kepada semua penduduk, semua pengundi supaya mereka memilih PERIKATAN NASIONAL kali ini,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau menyatakan demikian sempena hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul, esok.

Katanya, DUN Pelangai dikuasai oleh Barisan Nasional (BN) sekian lama dan telah sampai masa penduduk untuk berubah memilih PN seperti mana di kawasan sekitar Felda dan kampung tradisi orang-orang Melayu semasa PRU15 lalu.

Semasa Majlis Pengumuman Calon PN di Simpang Pelangai, Rabu lalu, beliau menegaskan PN akan terus maju dan berusaha memperjuangkan apa saja yang baik untuk rakyat walaupun menghadapi pelbagai halangan, rintangan dan cabaran.

Majlis itu juga berdepan dengan pelbagai halangan termasuk PN tidak dibenar menggunakan padang awam, dewan dan sebagainya.

Susulan itu, jentera pilihan raya PN telah bekerja keras membersihkan kawasan daripada kesan kayu balak untuk dijadikan dataran yang dinamakan Dataran Purnama, Simpang Pelangai bagi majlis berkenaan.

“Tempat inilah yang bakal menjadi saksi satu calon dan wakil rakyat yang akan dinobatkan di sini,” kata Andansura.

Beliau yang juga Ahli Undangan Negeri (ADN) Beserah turut menyeru para pengundi keluar seramai mungkin pada hari pengundian nanti.

PRK DUN Pelangai diadakan susulan penyandangnya, Dato’ Seri Johari Harun meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon esok, manakala 3 Oktober sebagai hari undi awal dan 7 Oktober untuk hari pengundian. – HARAKAHDAILY 22/9/2023