
KUALA LUMPUR: Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) Perak, Ustaz Nurhafizul Badrul Hisyam telah memberi keterangan kepada pihak polis berhubung isu Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How yang melakukan provokasi melampau apabila membuat tafsiran al-Quran sendiri di dalam video tular baru-baru ini.
Beliau yang juga dikenali sebagai Ustaz Hafizul hadir sebagai saksi untuk membantu siasatan kes tersebut, menegaskan bahawa isu itu adalah sangat besar, kerana melibatkan kitab suci al-Quran dan umat Islam perlu berasa sensitif dengannya.
“Kita umat Islam sendiri sekalipun tidak tafsir Al-Quran sendiri begini. Kita sendiri merujuk kepada kitab-kitab Muktabar (terkenal), orang-orang alim dan ulama-ulama yang besar.
“Tiba-tiba dia (Howard Lee) yang ‘wallahualam’ (tidak diketahui) latar belakang pendidikannya, bahkan dia sendiri tidak beriman dengan al-Quran, tiba-tiba dia mentafsirkan kitab suci umat Islam itu pula,” katanya ketika ditemui HarakahDaily, di sini, hari ini.
Beliau telah memberikan keterangan polis tersebut di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman, pagi ini.
Beliau menegaskan bahawa tafsiran Howard Lee itu adalah batil (salah) kerana sangat tersasar, ‘bermudah-bermudah dan menunggang’ ayat Al-Quran dalam Surah An-Nisa ayat 59.
“Apa yang menjadi kerisauan kita rakyat Malaysia khususnya orang Islam, bukan semuanya menguasai ilmu-ilmu agama.”
“Jadi, kita takut ada orang-orang dalam kalangan orang Islam, bila dengar perkara perkara tersebut, mereka terima perkara tersebut. Sedangkan perkara tersebut salah dan menyimpang daripada ajaran yang sebenar,” jelasnya.
Terdahulu, video tular tersebut yang telah dimuat naik daripada akaun media sosial TikTok dan Instagram milik Howard Lee, telah dikepilkan oleh Ustaz Hafizul dalam video TikToknya, untuk membetulkan kesalahan yang telah dibuat oleh Ahli Parlimen berkenaan. – HARAKAHDAILY 22/9/2023