NEW YORK: Anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk Amerika Syarikat (AS), Turkiye, Rusia dan Perancis, menggesa perdamaian diwujudkan di Nagorno-Karabakh, kawasan pemisah Armenia dalam Azerbaijan apabila Baku melancarkan serangan, minggu ini.
Menteri Luar Armenia, Ararat Mirzoyan berkata, Baku mungkin akan menggunakan kekerasan terhadap orang awam di Nagorno-Karabakh sekali lagi, melainkan dihalang oleh kuasa global.
Rakan sejawatannya di Azerbaijan, Jeyhun Bayramov pula mendakwa Yerevan menyebarkan maklumat salah, berkata Baku menjalankan operasi anti-keganasan terhadap tentera Yerevan.
Menteri Luar Perancis, Catherine Colonna berkata: “Bukan integriti wilayah Azerbaijan yang dipersoalkan…Apa yang dipertaruhkan ialah kemungkinan rakyat Armenia di Nagorno-Karabakh terus dapat hidup dan hak mereka dihormati.”
Duta AS ke PBB, Linda Thomas-Greenfield pula berpandangan: “Azerbaijan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan pasukan tenteranya mematuhi undang-undang antarabangsa dengan ketat…Azerbaijan juga mempunyai kewajipan dan komitmen antarabangsa untuk menghormati hak asasi manusia dan kebebasan asasi semua individu di wilayahnya.”
Timbalan Duta Rusia ke PBB, Dmitry Polynsky berkata: “Gencatan senjata harus disertai dengan jaminan keselamatan yang boleh dipercayai dan jelas serta menghormati hak asasi manusia bagi penduduk Nagorno-Karabakh.”
“Kita perlu membangunkan pelan hala tuju secara beransur-ansur untuk mengintegrasikan penduduk Nagorno-Karabakh ke dalam perintah perlembagaan Azerbaijan, dengan jaminan jelas hak dan keselamatan mereka.”
Timbalan Menteri Luar Turkiye, Burak Akcapat pula menyatakan: “Matlamat utama kami adalah untuk semua orang, termasuk penduduk Armenia, hidup secara aman, bersebelahan Azerbaijan. Kami menyokong langkah yang diambil oleh Azerbaijan untuk melindungi integriti wilayahnya.”
Karabakh diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai sebahagian wilayah Azerbaijan, tetapi menikmati status kemerdekaan de-facto sejak berpisah dalam perang pada 1990-an apabila Kesatuan Soviet runtuh.
Azerbaijan melancarkan serangan tentera untuk mendapatkan semula kawalan ke atas Karabakh pada 19 September lalu, sehari selepas bantuan kemanusiaan dihantar ke wilayah itu buat kali pertama dalam beberapa bulan. – REUTERS