PRKT: Keperluan parti politik atau keperluan rakyat?

- Advertisement -

PESTA demokrasi aman agak subur di Malaysia. Hal ini dapat dilihat melalui Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Pilihan Raya Negeri (PRN15) dan siri Pilihan Raya Kecil terkini pada Oktober 2023. 

Sekitar awal tahun 2000, parti-parti politik seperti Democratic Action Party (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mencadangkan agar Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (PRKT) dikembalikan setelah dimansuhkan oleh Tun Razak pada tahun 1971.  

Memetik kenyataan Exco Kerajaan Tempatan Negeri Perak, YB Sandrea Ng akhir tahun lepas, di mana beliau menyatakan PRKT adalah agenda yang akan dilaksanakan melalui kajian berterusan terhadap perundangan, praktikaliti, implikasi kewangan dan tahap kesediaan pilihan raya di negeri.

PRKT perlu dikembalikan di atas alasan persaingan terbuka melalui pilihan raya lebih membawa kemajuan. Selain itu, mereka juga menekankan bahawa tiada jaminan parti yang memenangi negeri boleh memerintah suatu daerah di samping isu PBT dikatakan tidak membantu wakil rakyat malahan membebankan wakil rakyat dengan isu-isu yang sepatutnya diselesaikan oleh mereka.

Kenapa Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (PRKT)?

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah ‘kerajaan ketiga’ di bawah senarai negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Uniknya PBT di Malaysia berbanding negara lain adalah, lantikan ahli majlis dicadangkan kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) setiap dua tahun, melibatkan golongan profesional, badan bukan kerajaan, atau mana-mana individu yang layak di kawasan tersebut. 

Pada tahun 1965, satu Suruhanjaya Penyiasatan Diraja telah ditubuhkan bagi mencadangkan penambahbaikan kepada sistem kerajaan tempatan sedia ada. Laporan tersebut dikenali dengan Laporan Athi Nahappan kemudiannya dibentangkan kepada Kabinet. 

Akhirnya, Menteri Kerajaan Tempatan, Dato’ Ong Kee Hui pada 7 Julai 1971, menyatakan bahawa PRKT tidak perlu dilakukan kerana terdapat pertindihan peranan di antara kerajaan negeri dan PBT. 

Walau bagaimanapun, kerajaan telah melaksanakan beberapa cadangan laporan tersebut seperti penyusunan semula PBT dan melantik individu yang layak berdasarkan merit. Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1960 (Akta 473) kemudiannya digantikan dengan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171). 

Antara faktor PRKT dimansuhkan kerana wujudnya masalah rasuah, salah tadbir pengurusan dan isu ketidakcekapan PBT sehingga kerajaan negeri terpaksa mengambil alih PBT berkaitan. 

Walaupun isu yang sama berlaku sebelum dan selepas PRKT dimansuhkan, impak positifnya dilihat lebih dominan selepas PRKT dimansuhkan seperti aktiviti pembangunan dapat disusun lebih baik, pantas dan lebih berfokus tanpa terkesan dengan perubahan politik yang ketara dan kerap berubah. 

Selain itu, politik kepartian melampau juga boleh memberi kesan negatif kepada PBT secara keseluruhannya. Tiada jaminan apabila berlakunya PRKT nanti, PBT negeri tertentu dilayan sama rata, tanpa diskriminasi seperti apa yang berlaku di antara Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri pembangkang hari ini. 

Implikasi pilihan raya kepada rakyat

Terdapat beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan sedalam-dalamnya sebelum PRKT dilaksanakan kembali antaranya adalah, bandar adalah hak semua ‘penduduk siang’ dan ‘penduduk malam’, tidak eksklusif untuk diuruskan oleh penduduk yang tinggal di bandar sahaja. Penduduk siang ialah mereka yang datang ke bandar setiap hari untuk bekerja. 

Malah, jumlah mereka boleh mencecah tiga kali ganda berbanding penduduk yang benar-benar menetap di bandar atau ‘penduduk malam’. 

Selain itu, Malaysia mengamalkan sistem federalisme, berbeza dengan kebanyakan negara yang menjalankan PRKT. Sistem ini boleh mewujudkan kerajaan negeri yang mempunyai hubungan yang lebih hampir dan lebih bersifat tempatan, tanpa perlu PRKT. 

Setiap PRKT pula bakal memakan belanja yang tinggi dengan menggunakan duit rakyat. Kos minimum pilihan raya dianggarkan sebanyak RM2 juta/PBT dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM302 juta bagi 151 PBT. 

Retoriknya, kita ditanam bahawa PRKT ini lebih menjamin kualiti perkhidmatan yang terbaik berbanding penambahbaikan kepada institusi sedia ada. 

Kurangnya aktiviti berpolitik sepanjang masa ini sebenarnya meringankan beban kepada rakyat daripada fokus kepada pembangunan diri, keluarga dan masyarakat. 

Kerajaan negeri perlu bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi membentuk satu jawatankuasa penilaian semula pelaksanaan Akta Kerajaan Tempatan 1976 dengan melihat sejauh mana penambahbaikan kerjasama di antara kerajaan negeri dan PBT dapat dilakukan selain meneliti dakwaan isu integriti di PBT.

Hal ini supaya kuasa PBT dapat diperkukuhkan melalui penambahbaikan dasar dan prosedur seperti mempamerkan senarai ahli majlis untuk maklumat awam, di samping memperbanyakkan dialog setempat melibatkan Ahli Parlimen, ADUN dan ahli majlis. 

Daripada 155 PBT di Malaysia, jumlah Majlis Daerah adalah terbesar merangkumi penduduk kurang daripada 150,000 orang, jumlah hasil tahunan kurang daripada RM20 juta, dan keperluan penduduk lebih tertumpu kepada kemudahan infrastruktur dan utiliti awam berbanding dengan perkhidmatan-perkhidmatan perbandaran. 

Ada baiknya jika semua pihak dapat berusaha untuk meningkatkan kapasiti pembangunan enam negeri di Semenanjung Malaysia yang merangkumi lebih 50 peratus Majlis Daerah di kawasan luar bandar kepada Majlis Perbandaran melibatkan negeri Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Terengganu. 

Kapasiti yang rendah secara langsung sebenarnya memberi kesan kepada kualiti hidup dan kos sara hidup rakyat.

Penutup

Apa yang kita perlukan adalah pengukuhan dan pemulihan. PBT perlu diperlihatkan sebagai salah satu ejen penyelesaian isu kos sara hidup dan perancangan bandar yang berkesan, bukan mengembalikan PRKT. 

Setakat ini, kita sudah mempunyai Ahli Parlimen seramai 222 orang dan 70 orang Senator, 600 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN), 155 PBT dan 15,434 orang Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK & JPKKP). 

Institusi politik yang agak besar ini sepatutnya dimaksimumkan demi kesejahteraan rakyat, bukan disalah gunakan untuk kepentingan parti politik tertentu. 

Kerjasama yang baik ini pernah berjaya membentuk peraturan berkualiti bagi menarik pelaburan melalui inisiatif E10 atau Permit Pembinaan Ekspres. Jika ada political will semua pihak, urusan rakyat dapat diselesaikan dengan mudah tanpa perlu dipolitikkan. 

HANISAH ABD RAHMAN
Penyelidik 
Yayasan Strategik Lestari (YSL) – HARAKAHDAILY 21/9/2023

- Advertisement -
- Advertisement -