KANGAR: Peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada Perlis tidak lagi disalurkan terus kepada kerajaan negeri sebaliknya akan disalurkan menerusi Pejabat Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, perkara tersebut menyebabkan setiap pembangunan yang bakal dijalankan di negeri itu di bawah projek Pusat akan dilaksanakan oleh ICU.
Namun begitu katanya, sebahagian daripada projek pembangunan masih perlu mendapat kelulusan kerajaan negeri sekiranya melibatkan aspek tanah dan sebagainya.
“Pelaksanaan pemberian peruntukan menerusi ICU itu dijangka bermula dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.
Mohd Shukri juga berkata, mesyuarat yang dihadirinya bersama Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini membincangkan mengenai hal berkaitan tanah dan pembangunan wilayah.
Dalam masa yang sama, ujarnya Kerajaan Persekutuan juga berhasrat membangunkan 50 lokasi hab pengecas pantas kenderaan elektrik (EV) di beberapa lokasi di Perlis.
“Namun begitu, perkara yang menjadi perhatian kerajaan negeri ialah berkaitan lot parkir yang kurang di negeri ini bagi membangunkan kemudahan itu.
“Tambahan pula, tidak banyak pengguna kenderaan elektrik, jadi pada saya tidak perlu tergesa-gesa melaksanakan projek itu dan kita akan melihat kembali perkara tersebut untuk dipertimbangkan,” katanya.
Menteri Besar turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang meluluskan peruntukan berjumlah RM9 juta bagi membina loji air di Arau dan Guar Sanji.
“Pembinaan loji tersebut akan membantu menyelesaikan isu tekanan air rendah yang dihadapi pengguna di sekitar kawasan Arau dan Kangar. Kerja-kerja pembinaan akan dilaksanakan secara berperingkat.
“Terima kasih juga saya ucapkan kepada kerajaan Persekutuan kerana membantu menyalurkan peruntukan bagi membantu rakyat Perlis,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/9/2023